Yang di-Pertua Dewan Rakyat kongsi Wawasan Kepimpinan bersama warga UMPSA
GAMBANG, 10 Jun 2025 - Program Bicara Kepimpinan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menampilkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul sebagai tokoh jemputan bertempat di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang.
Program yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Siri Bicara Tokoh itu memberi ruang kepada mahasiswa untuk mendapatkan pendedahan secara langsung bersama tokoh negara dalam bidang kepimpinan dan pentadbiran.
Dalam ucapannya, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari berkongsi pengalaman luas beliau dalam bidang perundangan dan parlimen, serta menekankan nilai integriti, kepimpinan berprinsip dan ketelusan sebagai asas dalam membina masa depan negara.
Program diteruskan dengan sesi dialog hampir satu jam yang menyaksikan interaksi dinamik antara warga kampus dan YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari dengan pelbagai persoalan semasa dan pandangan kritikal berkaitan isu kepimpinan negara diketengahkan.
Terdahulu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan kepada YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari atas kesudian hadir dan menyifatkan program ini sebagai satu penghormatan besar kepada UMPSA.
“Tajuk hari ini, ‘Memupuk Kepimpinan Masa Hadapan’ sangat relevan dengan misi UMPSA sebagai universiti teknikal terunggul yang komited melahirkan pemimpin berintegriti, berdaya saing dan peka terhadap perkembangan negara,” ujarnya.
Naib Canselor, Prof Dr Yatimah Alias turut menekankan bahawa kepimpinan bukan hanya soal jawatan, tetapi berkait rapat dengan pembentukan nilai, visi dan keberanian untuk membawa perubahan positif.
“UMPSA sentiasa mendukung pembangunan holistik mahasiswa menerusi pelbagai platform seperti aktiviti berpersatuan, latihan kepimpinan, demokrasi kampus menerusi Pemilihan MPP, dan juga Parlimen Mahasiswa UMPSA, yang menjadi medan latihan kepada pelajar untuk memahami sistem demokrasi berparlimen dan mengasah kemahiran berhujah.
“Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk memahami realiti dunia kepimpinan, malah membantu membentuk jati diri, daya kepimpinan serta kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa UMPSA,” tambahnya.
Menyentuh statistik dari Kementerian Pendidikan Tinggi (2023), Profesor Dr. Yatimah Alias turut menyatakan bahawa 60 peratus pemimpin politik dan korporat di Malaysia adalah alumni universiti awam.
“Ini membuktikan bahawa peranan penting institusi seperti UMPSA dalam melahirkan pemimpin negara.
“Setiap daripada anda adalah agen perubahan yang akan menentukan hala tuju negara dalam dekad akan datang.
“Jangan hanya mengejar gred, tetapi bina karakter dan nilai kepimpinan dalam diri,” tambahnya.
Program ini adalah sebahagian daripada komitmen UMPSA dalam menjayakan Agenda Pemindahan Ilmu di bawah tujuh Fokus Utama KPT tahun 2025, dan akan diteruskan secara berkala melibatkan pelbagai tokoh dari bidang kepimpinan, keusahawanan, akademik dan keagamaan, demi memperkasa modal insan UMPSA secara menyeluruh.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 129 views