UMPSA dan IMI jalin kerjasama memperkukuh pendidikan dan pensijilan automotif bertaraf global
UNITED KINGDOM, 28 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengorak langkah memperkukuh jaringan kerjasama global apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institute of the Motor Industry (IMI), United Kingdom.
IMI merupakan sebuah badan profesional automotif yang telah berusia lebih 100 tahun dan berperanan menetapkan piawaian kemahiran, akreditasi profesional serta pembangunan kapasiti tenaga kerja dalam industri automotif global.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif IMI, Nick Connor menandatangani MoU dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Institute of the Motor Industry (IMI), Fanshaws, Brickendon, Hertfordshire.

Turut hadir Pengurus Pembangunan Perniagaan Antarabangsa IMI, Pete Jackson, Ketua Pembangunan Perniagaan, Steve Scofield, CEO IMI, Nick Connor dan International Business Development & Accounts Manager, Pete Jackson.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, kerjasama ini mencerminkan komitmen UMPSA untuk menjadi peneraju ASEAN Advanced TVET Hub dan memperkukuh ekosistem pendidikan automotif negara.
“Bidang tumpuan ini merangkumi kenderaan elektrik (EV), sistem mobiliti pintar, pembangunan tenaga kerja hijau, serta peningkatan kemahiran digital industri.
“Kerjasama dengan IMI bukan sekadar meningkatkan kualiti akademik dan kebolehpasaran graduan, malah mengukuhkan kedudukan UMPSA sebagai universiti teknikal bertaraf global yang mendukung transformasi industri mobiliti hijau,” katanya.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang pensijilan profesional, pembangunan kurikulum, latihan tenaga pengajar, penyelidikan, dan inovasi teknologi automotif, selain membuka peluang kepada UMPSA untuk diiktiraf sebagai Pusat Latihan Diluluskan IMI (IMI-Approved Training Centre) pada masa hadapan.
Selain itu, kerjasama ini turut membolehkan Program Automotif UMPSA diakreditasi di bawah IMI Accredited Learning Programme (ALP) yang menepati piawaian antarabangsa, sekali gus memberi peluang kepada pelajar dan tenaga pengajar memperoleh pensijilan IMI yang diiktiraf di peringkat global.
Ujar beliau lagi, langkah ini memperkukuh peranan UMPSA sebagai Hab TVET Termaju ASEAN menjelang tahun 2030.
Sementara itu, Nick Connor menyifatkan kerjasama dengan UMPSA sebagai satu peluang strategik bagi IMI untuk memperluas kehadirannya di rantau Asia Tenggara, khususnya dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan profesional yang menyokong peralihan industri automotif global ke arah elektrifikasi dan kelestarian.
Dalam majlis ini, IMI turut menyatakan komitmennya untuk menyokong jaringan kerjasama serantau melalui inisiatif ASEAN Advanced TVET Hub yang diterajui oleh UMPSA, khususnya dalam bidang green mobility, teknologi EV dan pembangunan kemahiran digital bagi tenaga kerja masa hadapan.
Kerjasama ini turut membuka laluan kepada pelaksanaan projek penyelidikan bersama, program latihan industri, serta penganjuran forum inovasi automotif antarabangsa.
Terdahulu, kerjasama ini dimulakan oleh mantan Dekan FTKMA, Prof. Dr. Mahadzir bin Ishak sejak tahun 2021 dan pasukannya telah berjaya mendapatkan pengiktirafan Makmal EV FTKMA sebagai IMI Approved Centre, yang kini diuruskan oleh Ts. Dr. Mohd Hazwan bin Yusof.
Kunjungan ke IMI ini merupakan sebahagian daripada Lawatan Rasmi Naib Canselor UMPSA ke United Kingdom sempena Persidangan Going Global dan UK–Malaysia University Consortium Roundtable di Liverpool John Moores University (LJMU) yang diadakan dari 28 hingga 31 Oktober 2025.
Disediakan Oleh: Nur Ezzati Mohd Nasir, UMPSA Global Dan Ts. Dr. Mohd Hazwan Yusof, Pusat Imi UMPSA
- 52 views
Reports by: