Skip to main content
Jurnal JGI UMPSA raih pengiktirafan Anugerah Crѐme

Jurnal JGI UMPSA raih pengiktirafan Anugerah Crѐme

PUTRAJAYA, 7 November 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukir nama dalam dunia penerbitan akademik apabila jurnal terbitannya, Journal of Governance and Integrity (JGI), diumumkan sebagai antara penerima Anugerah Jurnal CRЀME bagi kategori Jurnal Indeks MyCite (Seni, Kemanusiaan dan Sains Sosial) bersempena dengan Majlis Malaysia Scopus Research Star Award (MRSA) 2025.

Majlis berprestij anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama syarikat penerbitan antarabangsa Elsevier dan IIUM Press itu yang diadakan di The Everly, Putrajaya telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Majlis ini menghimpunkan para penyelidik, editor jurnal dan tokoh akademik dari seluruh negara bagi meraikan pencapaian cemerlang dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menyifatkan MRSA bukan sekadar pengiktirafan terhadap kecemerlangan penyelidikan, tetapi juga mencerminkan usaha bersama membangunkan budaya ilmu yang memberi impak kepada masyarakat dan dunia.

“Kita berkumpul untuk meraikan kecemerlangan para sarjana dan keilmuan yang menerangi jalan kemajuan manusia melalui pencarian ilmu dan penemuan.

“Saya percaya MRSA ini bukan sekadar majlis untuk mengiktiraf pencapaian, tetapi merupakan cerminan komitmen kita terhadap keilmuan yang diharapkan dapat mengubah kehidupan dan memberi inspirasi kepada masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias yang hadir dalam majlis turut menzahirkan ucapan tahniah dan harapan tinggi terhadap pencapaian tersebut.

“Pengiktirafan ini merupakan bukti nyata bahawa UMPSA berada pada landasan yang tepat dalam memartabatkan penyelidikan dan penerbitan ilmiah bertaraf dunia.

“Pihak universiti  mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pasukan Rditorial JGI atas dedikasi dan kerja keras mereka. 

“Pencapaian tersebut diharap menjadi pencetus motivasi kepada lebih ramai penyelidik dan editor di UMPSA,” katanya. 

Ujarnya, pengiktirafan ini membuktikan komitmen UMPSA dalam memperkasakan budaya penyelidikan dan penerbitan akademik yang berintegriti serta berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Sebagai jurnal akademik yang berwibawa, JGI memberi impak dengan menyediakan wadah ilmu yang memperkukuh amalan tadbir urus beretika dan berintegriti.

Beliau juga berharap agar kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penerbitan berkualiti tinggi di UMPSA, sekali gus memperkukuh reputasi universiti sebagai peneraju pengetahuan, tadbir urus berintegriti dan penyelesaian berimpak kepada negara,” katanya.

Selain itu, JGI yang diketuai oleh Profesor Dr. Yudi Fernando selaku Ketua Editor telah menunjukkan prestasi konsisten dalam menerbitkan artikel berkualiti tinggi yang memberi impak kepada bidang tadbir urus dan integriti.

Ia turut menyumbang kepada penyelesaian isu-isu semasa dalam pengurusan, perniagaan dan pembangunan mampan, serta meningkatkan keterlihatan penyelidikan tempatan di pentas antarabangsa melalui penerbitan terbuka yang berkualiti tinggi.

Bagi Profesor Dr. Yudi, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara pasukan editorial, penulis dan pewasit artikel yang sentiasa menjunjung nilai akademik dan etika penerbitan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan UMPSA atas sokongan berterusan terhadap pembangunan jurnal-jurnal akademik universiti.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Penerbit UMPSA yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong proses penerbitan jurnal tersebut secara profesional dan cekap,” katanya.

Majlis ini turut menjadi platform penting untuk mengiktiraf usaha para editor dan penyelidik dalam menyumbang kepada ekosistem ilmu pengetahuan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia.

Disediakan Oleh: Fadhilah Abdul Ghaffar, Penerbit UMPSA
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim