Skip to main content

Profesor Madya Ts. Dr. Lee Chia Kuang raih 2 anugerah di PROMAC 2025

PUTRAJAYA, 10 Disember 2025 - Penyelidikan yang dibangunkan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), Fakulti Pengurusan Industri (FPI) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Ts. Dr. Lee Chia Kuang sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila memenangi dua anugerah utama di Project Management Conference (PROMAC 2025) anjuran The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) di Everly Hotel, Putrajaya. 

Hasil penyelidikannya yang bertajuk ‘Project Ready: Project Management Modular Based on Dematel Digraph and Risk Simulator’ diangkat sebagai penerima Anugerah ‘Best Poster Presentation’ sebelum diumumkan sebagai Johan Kategori ‘Research Poster’, menonjolkan sumbangan signifikan penyelidikan berasaskan teknologi dalam bidang pengurusan projek. 

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Lee, kejayaan ini mengukuhkan bukti bahawa inovasi pedagogi dan simulasi digital mampu menawarkan penyelesaian nyata terhadap cabaran latihan profesional yang selama ini bergantung kepada pendekatan tradisional.

“Kajian ini berasaskan keperluan semasa industri yang memerlukan pengurus projek berkemahiran tinggi, bukan sahaja dalam aspek teknikal tetapi juga dalam membuat keputusan kritikal, mengurus risiko dan memahami kebergantungan kompleks dalam sesebuah projek. 

“Realiti bahawa ramai pelajar dan profesional muda bergelut dengan kandungan PMBOK® Guide yang bersifat teknikal, padat dan sukar difahami secara teori itu telah mendorong penyelidik membangunkan Project Ready, satu model latihan modular dan berasaskan pengalaman yang digabungkan dengan dua alat utama iaitu Risk Simulator dan DEMATEL Digraph. 

“Risiko, ketidakpastian dan keperluan menganalisis hubungan sebab-akibat antara faktor projek dijadikan asas kepada penyelesaian yang lebih praktikal, interaktif dan mudah diakses oleh pelajar serta industri,” ujarnya. 

Tambahnya, Risk Simulator berfungsi menjalankan analisis risiko kuantitatif melalui simulasi Monte Carlo, manakala DEMATEL Digraph, ciptaan asli beliau yang berdaftar di bawah Hak Cipta CRLY2021W00277 membolehkan peserta mengenal pasti faktor kritikal melalui pemetaan visual hubungan sebab dan akibat dalam projek. 

“Gabungan kedua-dua platform ini mengubah proses pembelajaran daripada sekadar menghafal konsep kepada analisis berdasarkan data dan pengalaman simulasi yang realistik. 

“Penyelidikan ini turut membawa pembaharuan apabila algoritma DEMATEL diterjemahkan ke dalam sistem Excel berasaskan CSS dan Bootstrap HTML untuk menghasilkan output visual dan analitis secara automatik, menjadikan ia mesra pengguna dan boleh diguna oleh mereka tanpa latar belakang teknikal mendalam.

“Kajian ini diuji melalui siri latihan yang dibiayai geran PENJANA KPT-PACE melibatkan 126 peserta dari tahun 2020 hingga 2022,” ujarnya. 

Beliau menjelaskan, keputusan kajian menunjukkan impak yang ketara, dengan 100 peratus peserta menjadi ahli bertauliah PMI® dan 50 lulus peperiksaan CAPM® sehingga bulan Disember 2024. 

“Keberkesanan latihan turut dibuktikan melalui peningkatan kebolehpasaran graduan sehingga 98 peratus, selain maklum balas positif mengenai peningkatan kemahiran pengurusan risiko, komunikasi dan keyakinan membuat keputusan. 

“Dari perspektif akademik, penyelidikan ini memperkukuh literatur bidang melalui penerbitan dalam jurnal berindeks Q1 Scopus dan Web of Science serta menghasilkan tiga karya inovasi berdaftar, masing-masing meliputi modul GCPM, DEMATEL Digraph dan Project Management Principles and Practices.

“Signifikan penyelidikan ini melangkaui ruang akademik apabila ia berpotensi dipindahkan ke pelbagai platform latihan profesional, Micro-Credential, program universiti dan kerjasama industri termasuk bersama Edustats Solutions serta Project Management Institute Malaysia Chapter (PMIMY). 

Beliau turut menambah, kemenangan ini membuktikan bahawa penyelidikan berimpak tinggi tidak hanya terletak pada teori atau penerbitan semata-mata, tetapi pada keupayaannya menyelesaikan masalah sebenar, memperkasa pelajar dan menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja negara. 

“Dengan potensi pengembangan ke peringkat antarabangsa, Project Ready kini berdiri sebagai rujukan baharu dalam inovasi pendidikan dan penyelidikan pengurusan projek moden.

“Selain menyokong pembangunan modal insan negara, inovasi digital yang diperkenalkan beliau turut menyumbang kepada agenda kelestarian melalui penggunaan platform dalam talian yang mengurangkan pergantungan kepada bahan fizikal. 

“Dengan pelbagai pengiktirafan termasuk anugerah inovasi antarabangsa dan rekod pencapaian Technology Readiness Level 9, Project Ready dilihat sebagai model latihan masa depan yang bukan sahaja meningkatkan kelayakan profesional tetapi turut memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem global pengurusan projek,” katanya. 

Kejayaan penyelidikan ini di PROMAC 2025 membuktikan bahawa gabungan pendekatan modular, simulasi data dan inovasi digital mampu menawarkan alternatif yang lebih efektif kepada latihan konvensional. 

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri