UMPSA Latih 30 Remaja, Kanak-kanak Hadapi Kecemasan Akuatik di Pekan
PEKAN, 2 April 2026– Seramai 30 orang remaja dan kanak-kanak menyertai program berimpak tinggi anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi inisiatif Profesor Turun Padang yang berlangsung di perkarangan kolam renang Hotel Ancasa Pekan, sekali gus menjadikan lokasi tersebut sebagai medan latihan kecemasan akuatik.
Program Modul Latihan Persediaan Kecemasan Akuatik kepada Remaja dan Kanak-kanak di Negeri Pahang bertujuan memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai tindakan pantas dan tepat dalam situasi kecemasan di air, iaitu kemahiran kritikal yang boleh membezakan antara hidup dan mati.
Program berkenaan diketuai oleh Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Dan Automotif (FTKMA), Ts. Dr. Siti Rabiatull Aisha Idris yang menggabungkan elemen teori dan latihan praktikal secara intensif dalam tempoh sehari, melibatkan peserta daripada Kolej Komuniti serta penduduk sekitar Pekan.
Menurut beliau, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar mampu membina keyakinan dan kecekapan peserta dalam menghadapi risiko di air.
“Kami mahu peserta bukan sekadar tahu, tetapi berani bertindak.
“Dalam kecemasan, beberapa saat pertama sangat kritikal,” katanya.
Program dimulakan dengan taklimat keselamatan serta pengenalan kepada risiko persekitaran air, diikuti sesi teori berkaitan isyarat kecemasan dan langkah pencegahan.
Tumpuan utama bagaimanapun terarah kepada latihan praktikal yang mencabar dan interaktif, apabila peserta didedahkan dengan teknik asas penyelamatan diri menggunakan peralatan seperti kickboard dan noodle foam, selain latihan penggunaan jaket keselamatan.

Peserta turut mempelajari kemahiran penting seperti bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED) bagi membantu mangsa lemas.
Kemuncak program menyaksikan simulasi kecemasan yang menguji kecekapan peserta dalam situasi hampir sebenar, termasuk pembentukan pasukan penyelamat serta tindakan pantas secara berkumpulan.
Sementara itu, seorang peserta dari Kolej Komuniti Pekan, Nur Alya Syafiqah, berkata pengalaman tersebut membuka perspektif baharu mengenai aspek keselamatan air.
“Saya selalu fikir berenang itu sudah cukup untuk selamat, tetapi rupanya banyak perkara yang perlu diketahui. Sekarang saya lebih yakin jika berlaku kecemasan,” katanya.
Seorang lagi peserta, Momahad Iman Haikal turut berkongsi keterujaan terhadap latihan yang dijalankan.
“Latihan CPR paling menarik kerana kami belajar cara menyelamatkan orang.
“Saya berharap program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan,” katanya.
Program itu diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen peserta sepanjang latihan.
Inisiatif tersebut mencerminkan peranan aktif UMPSA dalam memindahkan ilmu kepada masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih peka, bersedia dan berdaya tahan dalam menghadapi kecemasan, khususnya melibatkan persekitaran akuatik.
Disediakan Oleh: Profesor Madya Ts Dr Siti Rabiatull Aisha Idris, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Dan Automotif (FTKMA)
- 51 views
Reports by: