10 pelajar UMPSA terokai budaya dan pendidikan global di Korea Selatan
SEOUL, 28 November 2025 - Seramai sepuluh ahli Kelab Orator Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), bersama penasihat kelab, Amy Zulaikha Mohd Ali dari Pusat Bahasa Moden berjaya menamatkan Program Mobiliti Malaysia–Korea Selatan 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 28 November lalu.
Program mobiliti antarabangsa anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) itu diketuai Pengarah Program, Siti Nur Ismalya Ismail, dan Timbalan Pengarah, Muhammad Irfan Danial Mohd Rodzi, dengan sokongan penajaan daripada PASDEC Holdings Berhad, Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Rzuynis Enterprise dan Asyraf Wound Care.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi Pelan Strategik UMPSA25, khususnya matlamat pembangunan pelajar holistik dan pengukuhan agenda internasionalisasi universiti.
Sepanjang berada di Seoul, peserta diberi peluang menyelami budaya tempatan melalui lawatan ke Eunpyeong Hanok Village dan pengalaman mengenakan hanbok di Gyeongbokgung Palace, istana diraja bersejarah yang dibina pada era Dinasti Joseon pada 1395.
Mereka turut menghadiri Festival Malaysia serta pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 di Oullim Square, Dongdaemun Design Plaza (DDP).
Delegasi UMPSA kemudian membuat kunjungan hormat ke Kedutaan Malaysia di Seoul, Yongsan-gu, bersama 70 pelajar lain daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), PEKA 1 dan Yayasan UMPSA.
Pegawai kedutaan, Kaunselor, Latihan dan Pendidikan, Shahril Nizam Idris dan Setiausaha Kedua, Chee Yu Hee Bill memberikan taklimat mengenai peranan kedutaan serta hubungan diplomatik Malaysia–Korea.
Menurut Setiausaha Pertama (Pendidikan), Liyana Jalwati Alias, lawatan ini sangat istimewa kerana kami tidak pernah menerima delegasi sebesar ini daripada satu universiti di Malaysia.
“Ia menunjukkan penglibatan kukuh pelajar UMPSA dalam pendedahan antarabangsa dan diplomasi budaya,” ujarnya.
Sementara itu, delegasi turut disambut Deputy Head of Development Planning and General Affairs Unit di ASEAN–Korea Centre, Ariff Ahmad Taharim yang berkongsi mengenai fungsi pusat tersebut dalam memperkukuh kerjasama serantau.
Dari sudut akademik, peserta dibawa melawat Hanyang University ERICA untuk sesi taklimat bersama pegawai Office of International Affairs berkaitan peluang pengajian dan kerjasama penyelidikan.
Delegasi turut mengunjungi Yonsei University, antara universiti paling berprestij di Korea Selatan, bagi memahami standard pendidikan tinggi global.
Elemen pembelajaran budaya diperkukuh melalui penerokaan Myeongdong, Sinchon, Namdaemun, Seongsu dan Itaewon serta lawatan ke Seoul Central Mosque yang membuka ruang kepada pemahaman lebih mendalam mengenai komuniti Muslim di Korea.
Aktiviti-aktiviti ini secara keseluruhan membentuk kesedaran global, kepekaan budaya dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan peserta.
Program Mobiliti Malaysia–Korea Selatan 2025 bukan sahaja memperluas horizon antarabangsa pelajar, malah menyokong aspirasi UMPSA untuk melahirkan graduan berdaya saing global.
Kejayaan penganjurannya diharap dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai pelajar menerima manfaat pendedahan antarabangsa dan pengalaman pembelajaran lintas budaya.





Disediakan Oleh: Amy Zulaikha Mohd Ali, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 33 views
Reports by: