160 pelajar sertai Kem Kecemerlangan Pelajar SPM 2024 (MARA Students Enhancement Program: MSEP) dengan kerjasama UMPSA
PEKAN, 9 Ogos 2024 - Seramai 160 orang pelajar sekitar negeri Pahang telah menyertai program Kem Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 (MARA Students Enhancement Program: MSEP) yang diadakan selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Ogos 2024 di UMPSA Pekan.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Dekan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Ts. Dr. Hamdan Daniyal.
Turut hadir sama Pegawai Latihan MARA Negeri Pahang, Maisarah Abdul Nasir, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan, Abdul Aziz Kamaruddin, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Haji Kamaludin Abdul Latif dan Pengetua Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Fairuz Adibah Sharif.
Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Hamdan Daniyal, kem tiga hari dua malam ini merupakan inisiatif awal yang dilaksanakan bertujuan untuk memberikan sokongan dan motivasi kepada para pelajar agar mereka dapat mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM pada hujung tahun ini.
“Di samping itu, kem ini diharapkan dapat menyuntik semangat para pelajar untuk melanjutkan pengajian di UMPSA pada tahun hadapan.
“Program ini juga merupakan langkah awal untuk memastikan bahawa para pelajar bukan sahaja dapat mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya, malah turut bersedia dari segi mental dan emosi bagi menghadapi cabaran peperiksaan.
“Kejayaan bukan hanya datang dari usaha keras semata-mata, tetapi juga dari sikap positif, ketekunan dan keberanian untuk menghadapi segala cabaran,” ujarnya yang mengambil masa selama 20 tahun untuk mencapai cita-citanya sebagai seorang profesor.
Terdahulu pelajar diberikan taklimat akademik yang disampaikan oleh Eksekutif, Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik, UMPSA, Muhammad Hakim Abu.
Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat
- 147 views