Skip to main content

Azhad Darwisy pilih UMPSA, tekad seimbangkan kecemerlangan akademik dan sukan

PEKAN, 19 September 2026 – Minat mendalam terhadap bidang teknologi dan sukan mendorong pelajar dari Selangor, Azhad Darwisy Azizzul Shariman,19 memilih Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai destinasi pengajian bagi merealisasikan impiannya untuk cemerlang dalam bidang akademik serta terus mengukuhkan prestasi sebagai atlet.

Azhad Darwisy yang kini mengikuti Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dengan Kepujian dari Fakulti Komputeran (FK) turut aktif dalam sukan olahraga dan bola sepak. 

Beliau mula menceburi bidang sukan sejak Tahun Empat dengan mewakili sekolah serta menyertai akademi bola sepak.

Menurutnya, penglibatan secara konsisten dalam sukan sejak di bangku sekolah telah membawanya mewakili institusi pendidikan dalam pelbagai kejohanan sehingga berjaya mencipta beberapa pencapaian membanggakan.

“Antara pencapaian yang paling bermakna bagi saya ialah memenangi pingat emas dalam acara 4x100 meter pada Sukan Asasi Malaysia 2026 ketika mewakili UiTM, selain meraih pingat perak dalam acara 110 meter berpagar pada Kejora MRSM.

“Pencapaian ini menjadi antara motivasi untuk saya terus memperbaiki prestasi dan mencabar kemampuan diri dalam bidang olahraga,” katanya.

Azhad berkata, beliau mula mengenali UMPSA ketika membuat penyelidikan bagi memilih institusi pengajian tinggi melalui UPU dan tertarik dengan kedudukan UMPSA sebagai universiti teknikal yang kukuh dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.

“Sebab utama saya memilih UMPSA adalah kerana pendidikan. 

"Pada masa yang sama, saya amat berminat untuk melibatkan diri dalam bidang sukan di UMPSA dan berharap dapat mengembangkan potensi saya ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya amat bersyukur dan gembira apabila mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di sini dan sangat teruja untuk memulakan kehidupan sebagai pelajar UMPSA,” katanya.

Dalam pada itu, Azhad turut mengakui sokongan ibu bapanya, Roslani Hussin, seorang suri rumah, dan Azizzul Shariman Mat Yusoff, seorang peguam, menjadi antara faktor penting yang membentuk perjalanan beliau dalam bidang akademik dan sukan.

Azhad Darwisy pilih UMPSA, tekad seimbangkan kecemerlangan akademik dan sukan

Katanya, kedua-dua ibu bapanya sentiasa memberikan sokongan dari segi kewangan, pengangkutan, keperluan sukan serta sentiasa memberikan semangat terhadap setiap usaha dan pencapaiannya.

“Ketika hari pendaftaran, keluarga saya turut bersama untuk memberikan sokongan. 

"Persiapan juga berjalan lancar dan dengan bantuan ibu bapa, saya dapat melengkapkan keperluan asrama serta barangan harian dalam kira-kira dua hari,” katanya.

Sebagai seorang atlet, beliau menyedari cabaran utama yang perlu dihadapi ialah pengurusan masa bagi mengimbangi latihan, pertandingan dan pengajian.

“Sebagai pelajar yang menitikberatkan kedua-dua bidang, saya akan memberikan komitmen sebaik mungkin ketika latihan dan pertandingan tanpa mengabaikan pelajaran. 

"Saya akan memberikan fokus sepenuhnya ketika berada di dalam kelas dan menggunakan masa terluang untuk menggantikan semula masa yang digunakan bagi latihan atau pertandingan,” katanya.

Sepanjang berada di UMPSA, Azhad menyasarkan untuk terus mengembangkan bakat dalam olahraga, khususnya dengan impian mewakili UMPSA pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2028 serta memperbaiki rekod peribadi dalam acara 100 meter.

Beliau juga teruja untuk menyertai pertandingan bola sepak dan olahraga yang dianjurkan universiti selain merasai pengalaman baharu sebagai pelajar universiti dengan kemudahan dan infrastruktur yang berbeza daripada institusi pendidikan terdahulu.

Dalam bidang akademik pula, beliau menyimpan impian untuk menyertai program ijazah dual ke Hanyang University, Korea Selatan, dalam bidang kejuruteraan perisian dengan tajaan biasiswa, selain mahu melibatkan diri dalam badan kepimpinan mahasiswa di UMPSA.

Baginya, kejayaan yang dicapai hari ini tidak terpisah daripada sokongan keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan nasihat serta tunjuk ajar.

“Kata-kata daripada ibu bapa yang paling saya ingat adalah supaya sentiasa menjaga solat dan berdoa dalam apa jua perkara yang diusahakan.

“Kepada ibu dan ayah, saya akan sentiasa berusaha sehabis baik. 

"Saya berharap segala penat lelah mereka akan berbaloi dan segala kebaikan yang diberikan akan kembali kepada mereka dengan pelbagai cara,” katanya

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri