Skip to main content

MPP UMPSA membuka ruang diskusi dua hala mengangkat aspirasi pelajar

PEKAN, 11 April 2026 – Program Townhall Muhibbah: Aspirasi Mahasiswa Kemampanan Universiti anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (MPP UMPSA) telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari, melibatkan dua lokasi utama iaitu di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang pada 10 April 2026 dan di UMPSA Pekan pada 11 April 2026.

Program ini dianjurkan sebagai platform komunikasi dua hala yang strategik di antara pelajar dengan pihak pengurusan universiti dalam membincangkan pelbagai isu berkaitan kemampanan universiti serta kebajikan pelajar. 

Inisiatif ini jelas mencerminkan komitmen berterusan MPP UMPSA dalam memastikan suara dan aspirasi pelajar terus diberi perhatian serta diangkat dalam proses pembangunan universiti yang lebih holistik dan inklusif.

Townhall tersebut telah menampilkan barisan kepimpinan tertinggi universiti, termasuklah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Yang Dipertua MPP UMPSA, Adam Al-Wafiy Muhammad Zailani.

MPP UMPSA membuka ruang diskusi dua hala mengangkat aspirasi pelajar

Kehadiran mereka bukan sahaja memperkukuh hubungan di antara pihak pentadbiran dengan pelajar, malah membuka ruang perbincangan yang lebih telus, matang dan berfokus kepada penyelesaian.

Menurut Adam Al-Wafiy, penganjuran program Townhall Muhibbah ini merupakan satu inisiatif penting dalam memperkasakan suara pelajar sebagai rakan strategik universiti. 

“Platform seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk menyampaikan pandangan secara terus kepada pihak pengurusan, sekali gus memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat diteliti dan ditangani secara lebih berkesan. 

“Penglibatan aktif pelajar dalam sesi dialog ini juga mencerminkan kematangan serta kesediaan mereka untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan universiti yang lebih mampan dan inklusif,” katanya. 

Sepanjang sesi dialog terbuka yang berlangsung, para pelajar diberi peluang untuk mengemukakan pandangan, cadangan serta resolusi berkaitan isu-isu semasa yang memberi impak langsung kepada pengalaman pembelajaran dan kesejahteraan mereka di universiti. 

Tambah beliau, antara isu yang dibincangkan termasuk kemudahan kampus, sokongan akademik, kebajikan pelajar serta inisiatif kelestarian yang mampu meningkatkan kualiti kehidupan warga kampus secara menyeluruh.

MPP UMPSA membuka ruang diskusi dua hala mengangkat aspirasi pelajar

“Perbincangan yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh muhibah ini berjaya mewujudkan pertukaran idea yang konstruktif serta relevan dengan keperluan semasa pelajar. 

“Pendekatan dialog secara terbuka ini turut memperlihatkan kesediaan pihak pengurusan universiti dalam mendengar, memahami dan menilai setiap pandangan yang dikemukakan demi penambahbaikan berterusan,” katanya. 

Selain itu, penganjuran program ini turut menekankan kepentingan adab, nilai hormat-menghormati dan semangat muhibah dalam kalangan pelajar. 

Elemen ini selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga memiliki sahsiah terpuji serta keupayaan kepimpinan yang tinggi.

Program Townhall Muhibbah: Aspirasi Mahasiswa Kemampanan Universiti ini juga dilihat sebagai satu langkah proaktif MPP UMPSA dalam membuat persediaan menjelang penganjuran Parlimen Mahasiswa Universiti yang akan datang. 

Melalui platform ini, pelbagai usul dan pandangan berkualiti berjaya dikumpulkan, sekali gus menjadi asas penting dalam merangka cadangan yang lebih komprehensif dan berimpak tinggi.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan antara pelajar dan pihak pengurusan universiti, malah menjadi medan penting dalam membina budaya komunikasi terbuka, berhemah dan berteraskan nilai kebersamaan demi kemampanan universiti pada masa hadapan.

Kehadiran pelajar yang memberangsangkan dalam program ini bukan sahaja mencerminkan tahap kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan penglibatan dalam platform dialog seperti ini, malah menunjukkan komitmen berterusan mereka dalam menyumbang idea dan pandangan ke arah penambahbaikan universiti. 

Penyertaan aktif yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung turut memperlihatkan kesediaan pelajar untuk menjadi sebahagian daripada agen perubahan dalam membentuk persekitaran kampus yang lebih kondusif, inklusif dan mampan. 

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium utama dalam memperkasa suara pelajar serta menyokong pembangunan universiti yang lebih progresif.

Disediakan Oleh: Nurul Adlina Binti A'zmi, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri