Pelajar UMPSA cipta impak global di Melbourne, perkasa kepimpinan dan budaya
MELBOURNE, 15 April 2026 – Seramai 15 sukarelawan Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyertai Siri Kembara Mobiliti Antarabangsa ke Melbourne menerusi program lima hari yang sarat dengan pengisian khidmat komuniti, diplomasi, ilmu dan seni pada 29 Ogos hingga 5 September 2025 yang lalu.
Berteraskan slogan ‘Bridging Cultures, Building Future’, program ini mengetengahkan kepentingan jalinan rentas budaya sebagai asas dalam melahirkan masyarakat masa depan yang inklusif, mampan serta berdaya saing di peringkat global.
Program dimulakan dengan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat El-Rahman, di mana sukarelawan diberi peluang menyertai program street care.
Aktiviti ini membuka mata peserta terhadap cabaran kehidupan golongan rentan, termasuk tunawisma dan keluarga berpendapatan rendah, sambil memberikan pengalaman hands-on dalam penyediaan bantuan harian dan interaksi berempati dengan komuniti tempatan.

Aktiviti ini turut membina kesedaran sosial yang mendalam, menjadikan sukarelawan lebih sensitif terhadap isu masyarakat dan lebih bersedia untuk menyumbang secara bermakna.
Delegasi seterusnya menghadiri sesi Student Engagement bersama MHRC dan MASCA yang menumpukan kepada perkongsian pengalaman melanjutkan pelajaran di luar negara serta pengurusan program organisasi yang berkesan.
Para sukarelawan turut didedahkan dengan pendekatan universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Australia dalam merancang, menyelaras serta menilai pelaksanaan program secara strategik bagi memastikan impak maksimum kepada komuniti.
Pelbagai tip praktikal turut dikongsikan, merangkumi teknik pembiayaan, strategi penglibatan sukarelawan dan pengurusan projek yang berkesan, sekali gus menjadi panduan berguna kepada pelajar UMPSA yang berhasrat melanjutkan pengajian atau aktif dalam projek antarabangsa.
Lawatan bersejarah turut diadakan menerusi kunjungan ke Shrine of Remembrance bagi memperingati pengorbanan tentera Australia, sekali gus memberi perspektif mendalam terhadap nilai patriotisme serta dedikasi masyarakat tempatan.
Kemuncak program pula diserikan dengan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-68 di Consulate General of Malaysia, Melbourne yang menghimpunkan warga Malaysia dan komuniti antarabangsa, diikuti penyertaan dalam acara Tram Sarong Melbourne 25 dengan mengenakan busana tradisional, sekali gus menyerlahkan keunikan identiti dan budaya Malaysia di pentas global.
Kunjungan ke University of Melbourne turut membuka peluang kepada para sukarelawan meneroka Science Gallery dan STEM Centre of Excellence, selain mempersembahkan model STEM hasil kreativiti sendiri seperti car magnet, teknologi 3D printing dan mapping robot.
Aktiviti ini bukan sahaja menonjolkan elemen inovasi dan teknologi, malah menjadi platform perkongsian ilmu bersama pelajar tempatan serta kanak-kanak, sekali gus memupuk pemikiran kritis dan kemahiran penyelesaian masalah secara praktikal.
Program ini melabuhkan tirainya dengan penganjuran bengkel STEM untuk kanak-kanak, penyerahan Modul STEM, pengagihan roti kepada komuniti serta sambutan Maulidur Rasul bersama komuniti Muslim Broadmeadows, yang secara keseluruhannya memperkukuh nilai kesukarelawanan, keprihatinan sosial dan semangat kepimpinan dalam kalangan peserta.
Menurut Pengarah Program, Nur Husna Azlan, program ini bukan sekadar platform mobiliti antarabangsa, tetapi juga satu medium pembinaan jati diri dan kepimpinan mahasiswa.
“Program ini memberi peluang kepada sukarelawan untuk memahami realiti kehidupan masyarakat global, di samping membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi rentas budaya serta semangat kesukarelawanan yang tinggi.
“Kami berharap pengalaman ini dapat melahirkan mahasiswa yang lebih berdaya saing dan bersedia menjadi pemimpin masa depan,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, Kembara Mobiliti UMPSA di Melbourne berjaya memperluas jaringan antarabangsa selain memperkayakan pengalaman sukarelawan, sekali gus memupuk nilai empati dan melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing serta bersedia menggalas peranan sebagai pemimpin masa depan.
Disediakan Oleh: Nur’ain Aqillah Che Othman, Yayasan UMPSA
- 15 views
Reports by: