Skip to main content

Pelajar UMPSA, UTHM dan UiTM sertai program Mobiliti Antarabangsa TVET Termaju Malaysia-China (MyChaT 2024) terokai bidang Automotif

KUALA LUMPUR - 25 Mei 2024 - Seramai 21 pelajar dan lima staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Program Mobiliti Antarabangsa TVET Termaju Malaysia-China (MyChaT 2024) bermula 25 Mei hingga 5 Jun 2024. 

Program yang turut disertai tiga pelajar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan seorang pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu memberi peluang peserta mengikuti latihan aras tinggi bersama institusi pendidikan tinggi di China.

Majlis pelepasan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed bertempat di KLIA 2. 

Hadir sama Ketua BELIA MAHIR, Mohammad Rizan Hassan.

Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim, Program Mobiliti Pelajar merupakan salah satu Key Performance Index (KPI) di bawah Critical Agenda Program (CAPS) pengantarabangsaan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSTPN). 

Pelajar UMPSA, UTHM dan UiTM sertai program Mobiliti Antarabangsa TVET Termaju Malaysia-China (MyChaT 2024) terokai bidang Automotif

“Penganjuran ini mampu menjadi ‘human transformer’ dan ‘culture builder’ kepada perubahan landskap pendidikan dan ekonomi negara selaras dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir. 

“Penganjuran siri kedua ini turut memfokuskan penyertaan pelajar bagi menjalani latihan dalam bidang Kejuruteraan Automotif dan Teknologi Kenderaan Elektrik (EV) di Beifang International Education China.

“Sebelum ini, fasa pertama disertai seramai 20 orang pelajar dan staf yang berkursus dan memdapat persijilan profesional di bawah MYChAT yang telah memberi peluang peserta menjalani latihan ‘up-skill’ dalam bidang Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligent) di Beijing Polytechnic,” katanya. 

Kerjasama strategik antara pihak UMPSA, Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Tang International Education Group dan Kerajaan Republik China melalui  Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt & Road Initiatives) ini merupakan strategi pembangunan infrastruktur global yang secara langsung akan memberi manafaat terhadap pembangunan modal insan negara berkemahiran tinggi dalam memenuhi pasaran kerja negara serta dunia.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit