Pengorbanan ibu jadi pembakar semangat Maizatul Sofea bergelar mahasiswa UMPSA
PEKAN, 18 September 2026 - Pengorbanan seorang ibu yang gigih mencari rezeki demi memastikan anaknya mendapat pendidikan terbaik menjadi pembakar semangat buat Maizatul Sofea Mohd Mahat, 21, untuk melangkah ke alam pengajian tinggi dan bergelar mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Kisah Maizatul Sofea mendapat perhatian menerusi sesi Ziarah Prihatin oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang hadir menziarahi kediaman mahasiswa baharu di Pekan, Pahang, sempena kemasukan pelajar baharu UMPSA bagi sesi akademik 2026/2027.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh.
Maizatul Sofea merupakan anak kelima daripada lima beradik dan bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), UMPSA Kampus Paya Besar.
Beliau merupakan lepasan Diploma Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh dengan pencapaian PNGK 3.22.
Lebih mencabar, Maizatul Sofea kini meneruskan pengajian selepas kehilangan bapa, manakala ibunya yang menjalankan perniagaan dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan menjadi tonggak utama keluarga.
Namun, keadaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk melanjutkan pengajian.
Sebaliknya, pengorbanan dan kegigihan ibunya menjadi kekuatan untuk beliau terus mengejar cita-cita dan membina masa depan yang lebih baik.
Menurut Maizatul Sofea, keputusan memilih UMPSA sebagai destinasi pengajian turut dipengaruhi oleh galakan pensyarah ketika beliau mengikuti pengajian diploma.
“Semasa diploma, pensyarah banyak berkongsi tentang kelebihan UMPSA khususnya dari segi kemudahan makmal bagi kursus kejuruteraan.
“Selain itu, UMPSA juga banyak menekankan aspek praktikal serta memberikan pendedahan yang lebih tinggi dalam bidang kejuruteraan,” katanya.
Bagi anak kelahiran Pekan itu, peluang bergelar mahasiswa UMPSA merupakan satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan.
Katanya, beliau sangat bersyukur kerana dapat bergelar mahasiswa UMPSA.
“Saya sudah lama mengimpikan untuk menjadi mahasiswa UMPSA kerana jarak antara rumah dengan universiti dekat.
“Saya juga pernah mengikuti program di bawah UMPSA semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2022 di Kampus Pekan.
“Jadi, apabila mendapat peluang untuk menyambung pengajian di sini, saya sangat teruja,” tambahnya.
Dalam pada itu, Maizatul Sofea berkata, ibu dan adik-beradiknya merupakan antara individu yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepadanya untuk memilih UMPSA.
“Sokongan keluarga amat bermakna dalam memastikan dirinya terus kuat untuk menghadapi cabaran sepanjang pengajian.
“Saya akan berusaha untuk membanggakan ibu yang selama ini banyak bersusah payah mencari rezeki untuk saya belajar dan mengejar cita-cita.
“Walaupun saya tidak sepandai orang lain, saya akan pastikan saya terus berusaha sehingga berjaya,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi sesi Ziarah Prihatin tersebut, UMPSA turut menyampaikan Insentif Pendidikan berjumlah RM1,000 serta Pek KASEH Ziarah Prihatin kepada Maizatul Sofea sebagai tanda keprihatinan dan sokongan universiti terhadap kebajikan mahasiswa.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, UMPSA sentiasa mengambil berat aspek kebajikan mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan cabaran kewangan dan latar belakang keluarga yang memerlukan sokongan.
“Kita mahu setiap mahasiswa UMPSA merasakan bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan menuntut ilmu.
“Kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa menjadi perhatian universiti supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada pengajian serta membina masa depan dengan lebih yakin,” katanya.

Beliau turut berharap sokongan yang disalurkan dapat menjadi suntikan semangat kepada Maizatul Sofea untuk terus berusaha mencapai impian dan membanggakan keluarganya.
Kunjungan ini bukan sahaja memberi sokongan dari sudut kebajikan, malah menjadi suntikan semangat kepada Maizatul Sofea untuk memulakan perjalanan baharu sebagai mahasiswa UMPSA.
Sebagai mahasiswa baharu, beliau turut tidak sabar untuk meneroka pengalaman sepanjang berada di UMPSA, khususnya menyertai aktiviti kokurikulum dan badan beruniform yang disediakan universiti selain membina jaringan persahabatan bersama rakan-rakan baharu.
“Saya berharap dapat menamatkan pengajian dengan keputusan yang baik dan pada masa yang sama membina kemahiran serta keyakinan diri.
“Saya juga ingin mengumpul sebanyak mungkin pengalaman dan pengetahuan yang boleh membantu saya mencapai cita-cita serta bersedia untuk memasuki alam pekerjaan nanti,” katanya.
Apabila diminta menitipkan pesanan kepada dirinya empat tahun akan datang, Maizatul Sofea mahu dirinya terus tabah dan tidak mudah berputus asa walaupun berdepan cabaran.
“Semoga segala penat lelah sepanjang berada di UMPSA akhirnya membuahkan hasil dan membawa kepada kejayaan yang diimpikan,” katanya.
Menariknya, Maizatul Sofea memilih perkataan ‘perubahan’ untuk menggambarkan harapannya terhadap UMPSA.
Katanya, beliau berharap UMPSA menjadi tempat yang dapat mengubah dirinya bukan sahaja dari segi akademik, malah turut membentuk kemahiran, meningkatkan keyakinan serta mematangkan dirinya sebagai persediaan menghadapi kehidupan dan alam pekerjaan.
Kisah Maizatul Sofea membuktikan bahawa di sebalik langkah seorang mahasiswa menjejakkan kaki ke universiti, tersimpan pengorbanan keluarga yang menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah.
Bagi UMPSA, usaha menyantuni mahasiswa melalui Ziarah Prihatin mencerminkan komitmen universiti untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang memerlukan sokongan dalam meneruskan pengajian.
Buat Maizatul Sofea, pengorbanan ibunya akan terus menjadi pembakar semangat untuk membuktikan bahawa setiap titik peluh dan penat lelah seorang ibu tidak pernah sia-sia dalam membina masa depan anaknya.
Selamat Datang buat Maizatul Sofea dan pelajar baharu yang akan mendaftar pada esok, 19 September 2026.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 21 views
Reports by: