Sukarelawan PERMAS UMPSA sertai program STEM Discovery on Wheels
KOTA DAMANSARA, 25 Ogos 2025 – Seramai lima orang sukarelawan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai program STEM Discovery on Wheels anjuran Yayasan DIY dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Sekolah Kebangsaan Seksyen 11, Kota Damansara bagi menyokong pelaksanaan program, sekali gus mengangkat peranan mahasiswa dalam menghubungkan universiti dan komuniti.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Selangor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (PERMAS-UMPSA), Ahmad Amirul Irfan Ahmad Saupi, PERMAS-UMPSA sangat memberi sokongan padu terhadap inisiatif seumpama ini.
“Kami melihat program seperti ini sebagai platform penting untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM sejak di bangku sekolah lagi.
“Usaha ini juga selaras dengan komitmen berterusan UMPSA yang sentiasa aktif dalam mempromosikan pendidikan STEM melalui pelbagai program, inisiatif, dan kolaborasi berimpak tinggi,” ujarnya.

Program ini telah berjaya menarik minat lebih 900 pelajar yang terdiri daripada peringkat prasekolah hingga Tahun 6 dan disokong oleh sukarelawan dari pelbagai universiti di seluruh Malaysia.
Pusat Sains Negara turut memeriahkan acara dengan pameran interaktif yang penuh ilmu dan pengalaman menyeronokkan.
Ini adalah sebahagian daripada usaha Yayasan DIY, Yayasan Sukarelawan Siswa dan Pusat Sains Negara untuk mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah.
Program STEM Discovery on Wheels ini membuktikan bahawa kolaborasi antara sektor swasta, badan bukan kerajaan, dan institusi pengajian tinggi adalah kunci untuk membangunkan bakat muda dalam bidang sains dan teknologi.
Kerjasama erat ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, tetapi juga memperkukuh peranan mahasiswa sebagai agen perubahan dalam masyarakat.
Disediakan Oleh: Ahmad Amirul Irfan Ahmad Saupi, Persatuan Mahasiswa Selangor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (PERMAS-UMPSA)
- 176 views
Reports by: