Tiga beradik, dua kampus, satu impian di UMPSA
PEKAN, 19 September 2026 – Kemasukan ke Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi pengalaman istimewa buat tiga beradik dari Kemaman, Terengganu apabila mereka bertiga bergelar pelajar baharu universiti yang sama bagi sesi akademik 2026/2027.
Pasangan kembar, Nur Alya Syazwani Ahmad Jafri dan Nur Alya Syazwina Ahmad Jafri, masing-masing berusia 21 tahun, bersama adik mereka, Nur Alya Syafiqah Ahmad Jafri, 19, memilih UMPSA sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.
Syazwani dan Syazwina mengikuti Sarjana Muda Teknologi Pembinaan Bangunan dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), UMPSA Kampus Paya Besar manakala Syafiqah mengikuti Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Minyak dan Gas) dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), UMPSA Pekan.
Bagi Syafiqah, pemilihan UMPSA pada awalnya didorong oleh faktor jarak yang dekat dengan rumah, selain tertarik dengan program pengajian dan kemudahan yang disediakan universiti.
“Saya mula mengenali UMPSA melalui TikTok UMPSA.
"Saya berminat memilih UMPSA kerana lokasi universiti yang dekat, fakulti-fakulti yang menarik dan infrastruktur universiti yang berkualiti.
“Saya juga memilih UMPSA kerana banyak program yang melibatkan kejuruteraan teknologi dan ia sesuai dengan impian saya,” katanya.
Namun, perkara yang paling menggembirakan Syafiqah ialah apabila mengetahui kedua-dua kakaknya turut mendapat tawaran ke universiti yang sama.
Menurutnya, mereka bertiga tidak pernah merancang untuk belajar di universiti yang sama, namun berita tersebut menjadi satu kejutan yang menggembirakan buat mereka sekeluarga.
“Saya berasa gembira apabila mengetahui kedua-dua kakak saya mendapat universiti yang sama iaitu UMPSA.
"Kami tidak merancang untuk dipilih ke lokasi pengajian yang sama, tetapi apabila mengetahui berita tersebut, saya berasa terkejut dan gembira,” katanya.
Bagi pasangan kembar itu pula, keputusan memilih UMPSA turut dipengaruhi oleh ibu bapa mereka.
“Kami berdua kembar dari Kemaman.
"Kami datang ke UMPSA dengan harapan untuk membanggakan mak ayah dan, kalau boleh, nak sambung pengajian sampai ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).
“Kami pilih UMPSA sebab dekat dengan rumah dan satu lagi sebab mak ayah yang cadangkan,” kata Syazwani dan Syazwina.
Kehadiran tiga beradik di UMPSA turut menjadi kebanggaan buat ibu bapa mereka, Ahmad Jafri Hussein, yang bekerja sebagai pemandu lori dan Raja Suiza Raja Hashim, seorang jururawat di Hospital Kemaman.
Pada hari pendaftaran, ibu bapa mereka turut meluangkan masa menghantar ketiga-tiga anak mereka ke Kampus Pekan dan Kampus Paya Besar, sekali gus menyaksikan sendiri langkah baharu anak-anak mereka dalam dunia pengajian tinggi.
Lebih bermakna, ketiga-tiga beradik itu turut berpeluang bertemu dengan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias sempena kemeriahan Hari Pendaftaran Pelajar Baharu UMPSA, sekali gus menjadi antara pengalaman awal yang cukup istimewa buat mereka sebagai warga baharu universiti.
Menurut Syafiqah, sokongan ibu bapa merupakan antara pendorong terbesar yang membawanya ke UMPSA, selain dorongan daripada rakan-rakan.
“Saya berasa gembira dan bangga apabila dipilih menjadi pelajar UMPSA.
Bagi Syafiqah, perjalanan di UMPSA bukan sekadar untuk mendapatkan segulung ijazah, tetapi menjadi titik permulaan dalam membina masa depan.
Mereka merupakan antara 2,618 pelajar baharu yang mendaftar di UMPSA bagi sesi akademik kali ini.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
- 31 views
Reports by: