UMP dan Amin Bio Group Metrai Kerjasama dalam Industri Gelatin Halal
Kuala Lumpur - Dengan kepakaran penyelidikan saintifik dan syariah yang dimiliki, Universiti Malaysa Pahang (UMP) baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Amin Bio Group Shanghai China yang berpengalaman luas dalam pembangunan ekosistem halal di China dalam usaha meneroka dan mewujudkan industri baharu dalam prospek pengembangan industri gelatin halal di negara ini. Gelatin digunakan secara luas dalam pelbagai industri termasuklah industri makanan, minuman, farmaseutikal dan kosmetik.
Majlis menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen MoU antara Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Ketua Pegawai Pengarah Amin Bio Group, Dawood Su Han dalam Simposium Ekosistem Gelatin Halal sempena Malaysia International Halal Showcase di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur. Hadir menyaksikan majlis bersejarah ini adalah Pengerusi MARA, Dato’ Dr Awang Adek Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ir Dr. Mohd Shahreen Zainooreen Madros dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.
Menurut Profesor Dato’ Sri ts. Dr. Daing Nasir, dengan kepakaran saintifik dan teknologi dalam bidang ini, universiti akan memainkan peranan yang lebih besar terutamanya dalam pengeluaran gelatin halal menerusi pertukaran kepakaran, pembangunan penyelidikan, latihan dan jaringan perniagaan.
“Peluang untuk bekerjasama dengan Al-Amin Bio Group dari Republik Rakyat China ini membolehkan universiti mendapat manfaat daripada kepakaran syarikat dalam industri halal, khususnya dalam bidang pengetahuan teknikal, pengoptimuman proses dan pembangunan sumber manusia,” katanya.
Selain itu kerjasama ini melibatkan jalinan kerjasama pembangunan penyelidikan dan perkongsian kemudahan, data, pengetahuan dan kemahiran serta lain-lain sumber untuk manfaat bersama. Kerjasama ini memperlihatkan sokongan pihak berkepentingan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam mewujudkan kemudahan pembuatan gelatin halal pertama di Malaysia kampus di Pekan, Pahang.
Penubuhan Pusat Inkubator Pengeluaran Gelatin Halal di tapak yang berkeluasan 4.45 ekar di Industrial Technology Engineering Creativity Space (ITECS) yang terletak di UMP Pekan dijangka berkeupayaan mengeluarkan 360 tan metrik gelatin setahun dan pengeluaran ini dijangka dapat menyumbang sekurang-kurangnya 0.08 peratus pasaran gelatin dunia. Premis ini menyediakan kemudahan infrastruktur, kelengkapan loji dan pembentukan rantaian bekalan halal (halal supply chain) yang berkaitan.
Pusat ini juga akan menarik penglibatan usahawan tempatan, peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan alumni universiti serta kemusahan latihan industri. Selain itu katanya, memandangkan industri pengeluaran gelatin amat bergantung kepada sumber haiwan, maka tentunya UMP memerlukan bantuan kepakaran dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai pihak berkuasa bertanggungjawab bagi memastikan aras pematuhan dan integriti produksi yang tinggi selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa dan prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Sementara itu, Dato’ Dr Awang Adek berkata, pembangunan industri halal telah berkembang pesat dengan jumlah pelaburan dalam industri ini meningkat kepada RM10.6 bilion pada tahun 2015 berbanding RM4.1 bilion pada tahun 2012. Permintaan yang semakin meningkat bagi barangan dan perkhidmatanmerupakan faktor pemacu pertumbuhan pasaran halal dan salah satu sebab utama bagi penerimaan yang semakin meningkat oleh pengguna bukan Islam.
“Dengan adanya platform seperti MIHAS ini, usahawan, pelabur serta ejen pemasar dapat meneroka potensi yang mampu melonjak pertumbuhan penghasilan produkmenggunakan gelatin halal selain perkongsian maklumat dan kesedaran tentang isu halal ini melalui seminar yang dianjurkan. Usahawan Bumiputera dalam penghasilan produk dari gelatin halal ini turut berpeluang untuk meluaskan pasaran ke peringkat global melalui Program Gate To Global (GTG),” katanya lagi.
Turut sama hadir Penasihat Amin Bio Malaysia, Dato’ Sofian Mohd Salleh,Timbalan Pengarah Keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Zulfikri Osman, Pengarah (Infrastruktur dan Komersil) MARA, Mohd Diah Abbas dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Professor Dato Dr Rosli Mohd Yunus.
- 406 views