Skip to main content

UMP, Terra Drone jalin kerjasama tingkat kepakaran teknologi mobiliti udara

KUANTAN, 6 Ogos 2021 - Pembangunan teknologi mobiliti udara menuntut kerjasama semua pihak dalam meluaskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang berkaitan teknologi dron seiring transformasi teknologi automasi yang bakal memberi kesan terhadap dunia pekerjaan pada masa depan.
 
Kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Terra Drone Technology Malaysia (Terra Drone) khususnya dalam bidang teknologi dron dilihat bakal mencipta satu lagi peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat dengan memupuk pengetahuan yang lebih tinggi seiring dengan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di era Revolusi Industri 4.0.
 
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengarah Urusan Terra Drone, Izwan Zainal Abidin menandatangani dokumen persefahaman dalam majlis anjuran Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat yang diadakan secara dalam talian. 

Hadir sama Penolong Naib Canselor Jabatan Pembangunan Graduan, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Terra Drone, Mohammad Firdaus Che Ismail.
 
Profesor Ir. Dr. Wan Azhar berkata, kolaborasi ini merupakan satu lagi mercu tanda penting dalam pengembangan jaringan strategik UMP dengan industri dalam menghasilkan graduan yang holistik.
 
“Perkongsian pintar yang dijalinkan ini bukan sahaja terbatas kepada memastikan pertukaran ilmu dan kepakaran malahan juga memenuhi keperluan negara melalui keterlibatan universiti-industri berteraskan pengetahuan merentasi penyelidikan, pendidikan, perkhidmatan dan teknologi.
 
“Terra Drone merupakan antara penyedia perkhidmatan dron terbesar di dunia dengan menawarkan teknologi canggih untuk kerja-kerja seperti peninjauan udara, pemeriksaan infrastruktur dan analisis data. 

“Justeru, dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh Terra Drone ini, ia dapat membantu dalam meningkatkan keupayaan dan kebolehpasaran graduan daripada UMP bagi merebut peluang pekerjaan pada masa depan,” katanya. 
 
Ujarnya, kesediaan Terra Drone untuk berkolaborasi dengan UMP pula merupakan satu petunjuk kepercayaan pemain industri terhadap keupayaan universiti ini untuk turut menambah nilai secara konstruktif bagi manfaat perkongsian pintar yang terjalin ini.
Selain itu katanya, UMP turut  menghargai atas sumbangan dron, komputer riba, simulator penerbangan dron penerbangan dan pengawal pintar bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan di universiti ini.
 
Menurut Izwan pula, pihak Drone Industry Insights daripada Jerman telah mengiktiraf Terra Drone sebagai penyedia perkhidmatan dron (kategori Remote Sensing) nombor satu dunia, di samping kekal sebagai nombor satu di dunia dalam bidang perniagaan pemetaan, tinjauan dan pemeriksaan.
 
“Kini, Terra Drone terlibat dalam semua aspek yang membabitkan dron, iaitu pertama perkakasan (hardware), kedua perisian (software), ketiga perkhidmatan (services) dan keempat penguatkuasaan (enforcement).
 
“Bagi memastikan Terra Drone Technology Malaysia mampu kekal relevan di peringkat tempatan dan antarabangsa penting bagi pihak kami memastikan bekalan pekerja mahir yang berpotensi serta berprestasi tinggi adalah mencukupi,” ujarnya.
 
Dalam pada itu, pihaknya berbangga dengan inisiatif UMP dalam meningkatkan kemahiran pembinaan dron berlandaskan TVET dan pendidikan. 

Beliau percaya kolaborasi ini akan berjaya bukan sahaja memberikan pulangan jangka masa pendek, malah meliputi juga faedah jangka masa panjang yang dapat dimanfaatkan kedua-dua pihak seterusnya menjadikan UMP sebagai Universiti Pelopor Teknologi Dron terkemuka di Malaysia dan di Asia Tenggara.
 
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri