Skip to main content

UMPSA dan DEFTECH meterai kerjasama memorandum kolaborasi perkukuh inovasi pertahanan

KUALA LUMPUR, 21 April 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memeterai Memorandum Kolaborasi (MOC)  dengan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH) dalam memperkukuh inovasi pertahanan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama serta kolaborasi akademik. 

Memorandum Kolaborasi (MOC) bersama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dimeterai di reruai DEFTECH sempena Defence Services Asia 2026 (DSA 2026) yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

Majlis menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif DEFTECH, Mohammad Shanaz Mohammad Shees dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Aida Mustapha mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menandatangani dokumen dengan disaksikan oleh Penolong Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim serta Penasihat Korporat DEFTECH, Leftenan Jeneral Dato' Hanafiah Jaafar. 

Kolaborasi strategik ini berjaya menghasilkan pembangunan TUAH – Tactical Utility Autonomous Hybrid yang merupakan platform autonomi maju yang menampilkan kecerdasan (edge intelligence) dan sistem kawalan berpusat. 

Gabungan kepakaran DEFTECH dalam keperluan ketenteraan, reka bentuk mekanikal dan fabrikasi bersama kepakaran UMPSA dalam sistem autonomi, pembangunan perisian dan robotik menjadikan Tactical Utility Autonomous Hybrid (TUAH) sebagai penyelesaian ideal untuk operasi taktikal dan pertahanan.

Kenderaan ini direka untuk operasi autonomi luar talian dengan pemantauan masa nyata tanpa kebergantungan kepada internet. 

Sistem sensor fleksibel membolehkan integrasi LiDAR, kamera dan GPS mengikut keperluan misi, sekali gus menyokong perancangan operasi dalam persekitaran yang mencabar dan tidak menentu. 

TUAH turut menampilkan rangka modular desentralisasi, casis boleh dikonfigurasi semula, reka bentuk elektrik sepenuhnya serta badan berperisai yang direka khas untuk kegunaan taktikal.

Menurut Mohammad Shanaz, kerjasama ini mencerminkan komitmen DEFTECH dalam memperkukuh inovasi pertahanan melalui perkongsian industri–akademia.

UMPSA dan DEFTECH meterai kerjasama memorandum kolaborasi perkukuh Inovasi Pertahanan

“Melalui kolaborasi ini, kami memperkukuh inovasi pertahanan negara dengan menterjemahkan penyelidikan kepada keupayaan yang boleh digunakan secara praktikal. 

“Usaha ini akan meningkatkan kesiapsiagaan operasi, melindungi teknologi strategik dan membina ekosistem pertahanan tempatan yang berdaya saing serta mampan,” katanya. 

Sementara itu, menurut Profesor Dr. Aida Mustapha, kerjasama ini melambangkan sinergi bermakna antara kepakaran akademik dan keupayaan industri dalam memajukan teknologi kenderaan autonomi untuk aplikasi strategik.

“UMPSA komited memastikan penyelidikan seiring agenda Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 dengan tagline ‘Teknologi untuk Masyarakat’. 

“TUAH mencerminkan aspirasi bersama untuk membangunkan sistem pintar yang boleh beroperasi dalam persekitaran kompleks serta memperkukuh kedudukan inovasi tempatan di peringkat global,” katanya. 

Kerjasama strategik ini dijangka memupuk bakat tempatan serta menyokong pembangunan teknologi pertahanan negara yang lebih berdikari dan berdaya tahan.

UMPSA dan DEFTECH meterai kerjasama memorandum kolaborasi perkukuh Inovasi Pertahanan

 

Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim