Skip to main content

EduNexa cipta nama di CITREX 2025: Muhammad Amir raih Anugerah ‘Best of the Best Student’ dengan Inovasi Pembelajaran Digital

PEKAN, 23 Jun 2025 – Kejayaan membanggakan telah dilakar oleh Muhammad Amir Mohamed Ali, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dari Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Best of the Best Student di Creative and Innovative Technology Research Exposition (CITREX) 2025 baru-baru ini. 

Pencapaian tersebut diraih hasil inovasi sistem pengurusan pembelajaran yang dinamakan EduNexa, sebuah platform digital bersepadu yang dibangunkan untuk merevolusikan pengalaman pembelajaran dalam talian. 

Projek itu turut memperoleh pingat emas dan Anugerah Khas ‘Promising Innovator in ICT’, menjadikan Muhammad Amir antara peserta paling cemerlang dalam pameran penyelidikan tahunan UMPSA itu.

Menurut Muhammad Amir lagi, idea menghasilkan EduNexa tercetus daripada pemerhatian terhadap jurang ketara dalam sistem pembelajaran digital yang wujud ketika ini. 

EduNexa

Beliau menyedari bahawa ramai tenaga pengajar dan pelajar berdepan kesukaran untuk mendapatkan akses kepada platform yang menyeluruh, seragam dari segi kualiti kandungan dan fleksibel untuk pelbagai golongan pengguna.

“Banyak platform sedia ada memberi tumpuan kepada satu aspek sahaja, sama ada pengajaran, pengurusan kursus, atau interaksi. 

“EduNexa pula dibangunkan sebagai penyelesaian menyeluruh, dari penciptaan kandungan interaktif hinggalah kepada integrasi AI dan sistem pembayaran yang selamat. 

“Projek ini dimulakan pada Januari 2024 dan siap sepenuhnya pada Mac 2025,” ujarnya. 

Ia dibangunkan dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Rakyat dan mendapat sokongan bimbingan teknikal daripada pensyarah Fakulti Komputeran UMPSA, Ts. Ku Saimah Ku Ibrahim.

EduNexa direka sebagai Learning Management System (LMS) berasaskan web yang menyasarkan bukan sahaja institusi pendidikan tinggi, tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komuniti pembelajaran terbuka serta golongan pekerja gig yang memerlukan pembelajaran fleksibel dan atas permintaan (on-demand).

Antara ciri-ciri unik EduNexa ialah kemampuannya untuk mencipta Kursus Video Interaktif secara mudah, menjalankan kelas dalam talian secara langsung, menyediakan pelbagai bentuk bahan pembelajaran (visual, audio, teks), menyokong pembelajaran adaptif menerusi teknologi AI, menawarkan sistem pembayaran yang selamat dan automatic dan memantau kemajuan pembelajaran secara individu

Katanya lagi, dengan EduNexa, ia bukan sahaja mampu menyelesaikan isu logistik dan capaian, tetapi juga membina satu ekosistem pembelajaran yang inklusif, mesra pengguna dan bersifat masa hadapan. 

“Matlamat utama pembangunan EduNexa ialah untuk menyediakan sistem pembelajaran digital yang mampu dimanfaatkan oleh pelbagai segmen pengguna iaitu pelajar, tenaga pengajar, pekerja malah syarikat atau organisasi latihan. 

“Ia juga menyumbang kepada usaha memperkasa tenaga kerja mahir, seiring dengan agenda pembelajaran sepanjang hayat negara.

“Dengan kos pembangunan awal sebanyak RM15,000 dan pelaksanaan penuh menelan belanja sekitar RM50,000, EduNexa disifatkan sebagai satu pelaburan strategik dalam sektor pendidikan digital,” tambahnya. 

Beliau berharap platform ini dapat dikembangkan lagi, termasuk dalam bentuk aplikasi mudah alih dan integrasi kecerdasan buatan yang lebih meluas, agar ia dapat digunakan oleh lebih ramai pengguna di pelbagai peringkat. 

Pencapaian Muhammad Amir Mohamed Ali di CITREX 2025 bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan penyelidikan pelajar UMPSA, malah membuka ruang untuk EduNexa diperkenalkan ke peringkat lebih tinggi termasuk pengkomersialan dan kerjasama dengan agensi luar.

Beliau turut menyuarakan hasrat agar EduNexa digunakan secara meluas oleh institusi pengajian tinggi, pusat latihan, perusahaan kecil dan sederhana serta komuniti pembelajaran global dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan berkualiti tinggi dan fleksibel.

Tambahnya lagi, anugerah ini bukan nokhtah, sebaliknya permulaan kepada perjalanan yang lebih jauh. 

“Saya berazam untuk terus menambah baik sistem ini dan memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat dan industri,” katanya.

CITREX 2025 sekali lagi menjadi medan penting bagi warga UMPSA menonjolkan daya cipta, hasil penyelidikan dan inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan serta dimanfaatkan oleh masyarakat umum. 

Penyertaan pelajar seperti Muhammad Amir Mohamed Ali menunjukkan bahawa generasi muda hari ini bukan sahaja kreatif, malah bersedia membawa perubahan signifikan dalam bidang teknologi dan pendidikan.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri