Syahirah wakili Malaysia dalam Chinese Bridge Competition
PEKAN, 18 Julai 2021 - Pelajar Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Syahirah Syazwani Shamsudin memenangi tempat pertama dalam Chinese Bridge Competition Malaysia Preliminary 2021 anjuran Kedutaan China dengan kerjasama Institut Kongzi, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Pertandingan itu dinilai menerusi ujian, persembahan, soal jawab dan juga pengucapan awam.
Kejayaan tersebut juga menyaksikan Syahirah bakal berentap mewakili negara dalam pertandingan di peringkat antarabangsa pada penghujung tahun ini bersama calon-calon yang mempelajari bahasa Mandarin sebagai bahasa asing dari benua Asia, Eropah, Afrika, Amerika dan Australia
Menurut Pengarah Institut Konfusius UMP (CI), UMP, Yong Ying Mei, Pertandingan Chinese Bridge ialah pertandingan tahunan antarabangsa yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan China.
“Pihak CI UMP akan terus melatih pelajar dalam persediaan Pertandingan Chinese Bridge di peringkat antarabangsa.
“Walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19, ia tidak menghalang program dijalankan secara dalam talian dan menyampaikan persembahan dengan baik.
“Buat kali keduanya UMP bakal mewakili negara setelah kejayaan pelajar FK, Jamunaa Patchappan yang mewakili negara pada tahun 2013,” katanya.
Pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti atas sokongan dalam penglibatan pelajar ke pertandingan bahasa peringkat UMP, kebangsaan dan antarabangsa.
Pelajar dilatih oleh Volunteer Language Teacher (VLT) dan mendapat sokongan penuh daripada Pengarah CI UMP (China), Profesor Dr. Guo Fuliang.
Berkongsi debaran untuk mara ke peringkat antarabangsa, Syahirah akan menggunakan cuti semester ini sebagai persiapan akhir.
Turut sama menyertai pertandingan Chinese Bridge Competition Malaysia Preliminary 2021 kali ini adalah Adelia Febriani Zaid, Panita a/p Prepan, Muhammad Hasraf Aikal Khairul Ihsan dan Khazimah Damia Rosfauwizamzamar.
Kewujudan CI UMP berjaya memanfaatkan pelajar UMP dalam meningkatkan kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin malahan mampu memahami budaya masyarakat Cina dengan penganjuran aktiviti, pertandingan bahasa Mandarin, pameran kebudayaan, program mobiliti dan kerjasama.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 124 views