Bahasa Arab: Senjata baharu pelajar Kejuruteraan UMPSA untuk menembusi dunia industri global
Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di UMPSA kini semakin dilihat sebagai satu elemen penting dalam membentuk graduan kejuruteraan yang bukan sahaja mahir dalam aspek teknikal, tetapi juga bersedia untuk menghadapi dunia industri global yang semakin menuntut kemahiran komunikasi pelbagai bahasa, walaupun UMPSA terkenal sebagai universiti teknologi yang menekankan bidang-bidang seperti Mekanikal, Elektrikal, Kimia, Automasi dan Reka Bentuk Sistem. Kehadiran bahasa Arab sebenarnya memberi warna baharu dalam pengalaman pembelajaran para pelajar kerana bahasa ini bukan sekadar bahasa kitab atau bahasa formal, tetapi bahasa yang kini menjadi kunci kepada peluang kerjaya bernilai tinggi di negara-negara Timur Tengah. Pelajar menyedari bahawa syarikat gergasi seperti Aramco, SABIC, ADNOC, Dubai Petroleum dan QatarEnergy sentiasa mencari jurutera antarabangsa yang boleh berkomunikasi walaupun pada tahap asas dalam bahasa Arab, barulah mereka mula faham bagaimana bahasa ini boleh memberikan kelebihan kompetitif yang sukar ditandingi oleh pelajar lain.
Di samping peluang pekerjaan, bahasa Arab juga membuka akses kepada warisan ilmu sains dan teknologi yang sangat kaya, di mana karya tokoh-tokoh seperti al-Jazari yang menjadi rujukan awal kepada automasi dan robotik, Ibn al-Haytham dalam optik, serta al-Khwarizmi dalam algebra dan algoritma, kesemua asalnya ditulis ddi alam bahasa ini. Justeru, pelajar kejuruteraan UMPSA yang mempelajarinya akan memiliki perspektif yang lebih luas tentang akar umbi perkembangan teknologi moden, di samping dapat menghargai bagaimana tamadun Islam dahulu memainkan peranan penting dalam membentuk dunia sains hari ini.
Walaupun pembelajaran bahasa Arab sering dianggap mencabar kerana perbezaan tulisan, keunikan struktur ayat serta sebutan yang berbeza daripada bahasa lain, persepsi ini masih menjadi kekangan utama dalam kalangan pelajar. Tambahan pula, bahan pembelajaran yang tidak sepenuhnya disesuaikan dengan konteks dunia kejuruteraan menjadikan proses penguasaan bahasa ini kelihatan sukar dan kurang relevan. Namun, cabaran ini sebenarnya boleh diatasi melalui pendekatan pengajaran yang lebih santai dan moden seperti penggunaan aplikasi digital, pembelajaran berbantukan AI, permainan interaktif, latihan simulasi, dialog teknikal mudah serta mini projek bahasa yang menekankan bahasa Arab sebagai medium komunikasi, bukan sekadar memperlajari nahu (tatabahasa Arab).
Di UMPSA, usaha memperkukuh penguasaan bahasa Arab boleh dipertingkatkan melalui pembangunan modul khusus seperti Arabic for Engineering Purposes (AEP) yang menggabungkan kosa kata teknikal, situasi industri dan latihan membaca laporan ringkas berkaitan kejuruteraan. Modul ini juga boleh merangkumi bimbingan menulis e-mel profesional dalam bahasa Arab serta aktiviti berpasukan yang menempatkan pelajar dalam konteks kerja sebenar.
Apabila pelajar merasai bahawa apa yang mereka pelajari boleh terus diaplikasikan dalam dunia pekerjaan, motivasi mereka untuk menguasai bahasa akan meningkat dengan lebih ketara. Usaha ini bukan sahaja menjadikan bahasa Arab lebih relevan, malah membantu menghidupkan penggunaannya di kampus UMPSA dalam suasana pembelajaran yang lebih praktikal, moden dan bermakna.
Pelbagai aktiviti santai seperti Arab Corner, sesi ‘speak easy’, pertandingan sebutan, mini drama, kuiz kosa kata teknikal, pembentangan poster projek tahun akhir dalam sedikit bahasa Arab serta program Minggu Bahasa Arab yang meriah boleh dianjurkan bagi memberi ruang kepada pelajar berlatih tanpa tekanan. Lebih menarik lagi, UMPSA berpotensi besar menjalinkan hubungan strategik dengan universiti, pusat penyelidikan dan syarikat industri di Timur Tengah bagi tujuan pertukaran pelajar, latihan industri, seminar kejuruteraan, penyelidikan bersama dan program lawatan industri, yang bukan sahaja memperkenalkan budaya dan bahasa Arab dalam konteks profesional sebenar, tetapi juga memberi motivasi yang sangat tinggi kepada para pelajar untuk menguasai bahasa tersebut secara keseluruhannya.
Pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di UMPSA bukan lagi sekadar subjek sampingan atay hiasan kurikulum tetapi menjadi satu kelebihan masa depan yang bernilai khususnya bagi pelajar kejuruteraan yang berhasrat mengembangkan kerjaya ke peringkat antarabangsa. Apabila pelajar melihat bahasa Arab sebagai alat komunikasi, pemahaman budaya, pembuka peluang kerjaya dan pemangkin keyakinan diri, mereka akan sedar bahawa bahasa ini bukan beban, tetapi pelaburan jangka panjang yang mampu mengubah hala tuju profesional mereka.
Oleh itu, usaha berterusan untuk menjadikan bahasa Arab lebih relevan, mudah didekati dan selari dengan bidang kejuruteraan perlu diperkasa di UMPSA supaya lebih ramai pelajar dapat memanfaatkan potensi besar yang ditawarkan oleh bahasa ini, sekali gus membuktikan bahawa graduan UMPSA bukan sahaja hebat dalam teknologi, tetapi juga mempunyai kelebihan linguistik dan kompetensi budaya yang menjadikan mereka lebih bersedia untuk menjadi pemain global yang sebenar.

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 57 views
Reports by: