Gangguan Seksual di Tempat Kerja: Isu Integriti dan Profesionalisme
Gangguan seksual di tempat kerja merupakan satu bentuk salah laku serius yang menjejaskan maruah, kesejahteraan, dan produktiviti seseorang pekerja. Ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah bertentangan dengan nilai integriti dan etika profesional yang seharusnya dijunjung di mana-mana organisasi.
Gangguan seksual boleh terjadi kepada lelaki atau perempuan. Ia juga tidak terhad kepada berlainan jantina, malah boleh dilakukan oleh lelaki terhadap lelaki atau perempuan terhadap perempuan. la merentasi jurang gender dan status.
Gangguan seksual adalah tingkah laku, perbuatan, tindakan atau pernyataan yang bersifat seksual dan tidak diingini yang mana boleh memberi kesan negatif ke atas motivasi serta prestasi kerja pegawai atau prestasi akademik pelajar. la boleh berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada jenaka berunsur seksual yang dilakukan secara berterusan dan menyakitkan hati, sentuhan yang tidak diingini atau mengirim bahan-bahan berbaur seksual di universiti.
Gangguan seksual merupakan suatu perbuatan yang tidak bermoral dan melanggari batas-batas perhubungan serta nilai peribadi seseorang pegawai/pelajar sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni di universiti seperti ketakutan, permusuhan, perasaan serba salah, tersinggung atau disakiti.
Gangguan seksual juga bermaksud sebarang kelakuan berunsur seksual yang tidak diingini sama ada dalam bentuk lisan, isyarat, visual, fizikal atau psikologi yang boleh menyinggung seseorang individu. Contohnya, gangguan termasuk membuat komen lucah, menghantar mesej berbaur seksual, menyentuh tanpa izin, atau mengugut untuk memberi ganjaran sebagai balasan kepada layanan seksual.
Mangsa gangguan seksual sering mengalami tekanan emosi, hilang keyakinan diri, dan gangguan terhadap prestasi kerja. Dalam jangka panjang, suasana kerja menjadi toksik dan menjejaskan imej organisasi.
Pemakaian Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) adalah merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Pengurusan Psikologi versi 1.0 (2022): Ceraian PO.3.1.2 Garis Panduan Pengendalian Kes Ganguan Seksual Di Tempat Kerja. Garis Panduan ini menjelaskan tindakan yang perlu diambil oleh Ketua Jabatan dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam mengendalikan kes gangguan seksual di tempat kerja. Garis Panduan ini juga telah diubah suai mengikut kesesuaian konteks dan terpakai kepada pelajar di universiti.
Proses dan tatacara yang jelas dan mekanisme aduan yang selamat serta sulit telah dinyatakan di dalam garis panduan tersebut. Kesedaran kepada semua warga universiti juga dijalankan secara berkala bagi memastikan setiap individu memahami batas profesional.
Sebagai kesimpulannya, gangguan seksual di tempat kerja bukan sekadar isu moral, tetapi mencerminkan tahap integriti dan keadilan dalam sesebuah organisasi. Integriti ialah asas kepada pembentukan budaya kerja yang sihat. Pekerja yang berintegriti akan menghormati hak dan maruah orang lain, manakala pemimpin yang berintegriti akan menggunakan kuasa dengan adil tanpa menyalahgunakannya untuk kepentingan peribadi. Integriti juga menuntut kejujuran, tanggungjawab, dan ketelusan dalam setiap tindakan di tempat kerja. Apabila nilai ini diamalkan secara konsisten, gangguan seksual dapat dicegah dan persekitaran kerja yang harmoni dapat diwujudkan
Oleh itu, semua pihak sama ada majikan, pekerja, dan masyarakat harus memainkan peranan aktif dalam membanterasnya. Melalui dasar yang tegas, pendidikan berterusan, dan pelaksanaan nilai integriti dalam setiap aspek pekerjaan, tempat kerja yang selamat, profesional, dan beretika dapat diwujudkan.
Hanya dengan menegakkan prinsip integriti dan menghormati maruah manusia, universiti akan mampu melahirkan persekitaran kerja yang produktif serta mewujudkan budaya kerja yang benar-benar bebas daripada gangguan seksual.

Oleh: Nurul Syahida Suhaimin
E-mel: syahidasuhaimin@umpsa.edu.my
Penulis adalah Ketua, Unit Integriti dan Pematuhan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 170 views
Reports by: