Skip to main content

Huat Ah! Menggaul Bahasa dalam Yee Sang

“Satu… dua… tiga…”
“Huat ah! Huat ah! Huat ah!”

Sharifah ketawa kecil sambil mengangkat penyepitnya tinggi-tinggi. Sejak malam tadi, video TikTok tentang Yee Sang, atau yú shēng (鱼生) yang dikenali dalam kalangan masyarakat Cina, tidak henti-henti muncul di layar telefon pintarnya. Dalam video itu, jalur-jalur lobak berwarna-warni, hirisan sayuran segar dan pelbagai ramuan lagi berterbangan, suara orang ramai bersorak, ucapan “Gōng xǐ fā cái (恭喜发财)” dan “Wàn shì rú yì (万事如意)” bergema di restoran, pejabat dan hotel, menyemarakkan suasana penuh kemeriahan dan harapan.

Hari ini, dia menyaksikannya sendiri.

Sharifah dan ibunya menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina di rumah Jane, sahabat lama ibunya. Meja bulat dihias merah keemasan. Di tengah meja terletak sedulang besar Yee Sang dengan hirisan ikan mentah (biasanya salmon berkilau), lobak putih, lobak merah, halia jeruk, kacang tanah, bijan dan sos plum manis.

Sos dituangkan perlahan-lahan.

Ucapan mula bersahut-sahutan:

“Gōng xǐ fā cái (恭喜发财)!”

“Xīn nián kuài lè (新年快乐)!”

“Nián nián yǒu yú (年年有余)!”

“Xīn xiǎng shì chéng (心想事成)!”

“Shēn tǐ jiàn kāng (身体健康)!”

Dan akhirnya, paling kuat sekali:

“Huat ah!” [Dalam Mandarin: 发财 (fā cái), dalam Kantonis: 发财 (IPA: [faːt̚˧ tsʰɔːi˨]), dalam dialek Hokkien di Malaysia: “huat”.]

Yee Sang dilambungkan tinggi. Tawa berderai memecah suasana. Doa dilafazkan. Harapan digaul dan disatukan dalam simbolik kebersamaan.

Sharifah bertanya, “Ibu, kenapa orang Malaysia dan Singapura mengamalkan adat ini? Dalam video dari China, tak nampak pun mereka bersorak ‘huat’ macam tu?”

Jane tersenyum tenang.

Hari ketujuh Tahun Baharu Cina dikenali sebagai Renri (人日, rén rì) iaitu hari kelahiran manusia. Dalam tradisi klasik yang dikaitkan dengan teks Zhanshu (占书, zhān shū) oleh Dongfang Shuo (东方朔, Dōngfāng Shuò), tujuh hari pertama dalam kalendar lunar dikaitkan dengan penciptaan makhluk secara bertahap, hari pertama hingga hari keenam merupakan haiwan seperti ayam, kambing, lembu dan kuda, manakala hari ketujuh ialah manusia.

Namun demikian, kajian filologi menunjukkan bahawa naratif tujuh hari penciptaan bukanlah lapisan paling awal dalam sejarah Renri. Feng dan Da (2014) menelusuri manuskrip Qin dan berhujah bahawa tujuh hari awal tahun pada asalnya berkait dengan amalan ramalan cuaca dan kesejahteraan ternakan. Hanya pada tahap perkembangan seterusnya, ia ditafsirkan sebagai simbol antropologis tentang ‘hari jadi bersama’ seluruh umat manusia. Perbahasan ini turut dibincangkan dalam wacana mitos penciptaan tujuh hari. 

Pada masa lampau, Renri lazimnya diraikan dengan makanan seperti sup tujuh sayur (七菜羹, qī cài gēng), bubur tujuh sayur (七菜粥, qī cài zhōu) atau bubur kejayaan (及第粥, jí dì zhōu). Ritual melambung Yee Sang secara kolektif bukanlah amalan arus perdana di China.

Di sinilah bermulanya kisah diaspora.

Sharifah memerhati variasi istilah yang tertera pada meja dalam video Tiktok itu:

yú shēng (鱼生) — Mandarin
yu sang, IPA: [jyː˨˩ sɐːŋ˥] (鱼生) — Kantonis
lāo shēng (捞生) — Mandarin
lou sang, IPA: [lou˨ saːŋ˥] (捞生) — Kantonis
lou hei, IPA: [lou˥ hei˧˥]) (捞起) — Kantonis

Perbezaan ini mencerminkan sejarah migrasi masyarakat Cina dari wilayah Fujian dan Guangdong pada akhir abad ke-19. Dalam konteks Malaysia dan Singapura yang bersifat dwibahasa dan pelbagai dialek, bahasa Mandarin, Hokkien dan Kantonis saling mempengaruhi sehingga menghasilkan variasi leksikal tempatan yang unik.

Ma, Chong dan Lee (2024) menunjukkan bahawa bahasa Cina Malaysia (Malaysian Chinese/MC) berkembang sebagai varieti diaspora yang dipengaruhi bahasa Melayu dan Inggeris, lalu menghasilkan kosa kata unik seperti “巴刹” (bā shā bererti pasar), “脚车” (jiǎo chē bererti basikal) dan “安娣” (ān dì bererti makcik). Dalam kategori budaya, istilah “捞生” (lāo shēng) diakui sebagai leksikon khas Malaysia dan Singapura.

Kajian tersebut menerangkan dalam entri Sin Chew Daily Online bahawa istilah “捞生 (lāo shēng)” dihuraikan sebagai salah satu adat masyarakat Cina di Malaysia dan Singapura dalam menyambut Tahun Baharu Cina. Dalam penjelasan tersebut dinyatakan bahawa “捞” (IPA: [lou˨] dalam Kantonis) membawa maksud menggaul atau mencampur, selain itu secara metafora, bermakna mencari rezeki (谋生, móu shēng). 

“鱼生” (IPA: [jyː˨˩ sɐːŋ˥ dalam Kantonis) merujuk kepada hirisan ikan mentah. Istilah ini juga dikenali sebagai “捞鱼生” (IPA: [lou˨ jyː˨˩ sɐːŋ˥) dan berasal daripada dialek Kantonis.

Penjelasan leksikal ini memperlihatkan bahawa makna “捞(lāo)” tidak terhad kepada tindakan fizikal menggaul makanan, tetapi turut mengandungi makna simbolik ‘mencari kehidupan’ atau ‘mengusahakan rezeki’. Di sinilah terletak kekuatan istilah tersebut, satu kata kerja yang berkembang menjadi lambang aspirasi ekonomi masyarakat diaspora.
Dalam konteks Malaysia, istilah ‘捞生 (lāo shēng)’ bukan sekadar pinjaman dialek, tetapi telah mengalami proses pengakaran budaya yang mendalam di sebaliknya. Walaupun terdapat pandangan bahawa istilah ini berkait dengan sebutan dialek Teochew ‘lou sang’, penggunaannya dalam ruang awam Malaysia dan Singapura memperlihatkan pertembungan dan percampuran dialek Kantonis, Hokkien dan Mandarin yang membentuk identiti linguistik tempatan.

Fenomena ini menunjukkan bahawa bahasa adalah wahana pembentukan identiti kolektif. Istilah seperti “捞生 (lāo shēng)” merentas sempadan makna kulinari untuk menjadi simbol kebersamaan dan mobiliti sosial. Istilah ini hadir dalam ruang makan, seni visual, iklan perayaan, arkitektur restoran dan media sosial.

Dalam erti kata lain, kosa kata perayaan seperti ‘捞生 (lāo shēng)’ memperlihatkan bagaimana bahasa membentuk citra kebudayaan Malaysia yang unik. Istilah ini menzahirkan tradisi mengutamakan pertemuan keluarga, perkongsian makanan dan harapan bersama ketika musim perayaan. 

Menurut laporan media tempatan, ritual Yee Sang dalam bentuk moden dipopularkan sekitar 1960-an oleh pengusaha restoran di Singapura dan Malaysia, menjadikannya tradisi diaspora yang relatif kontemporari (Free Malaysia Today, 2026).

Bahasa memelihara warisan, namun pada masa yang sama mencipta makna baharu juga.

‘Huat’ berasal daripada perkataan 发 (fā), bermaksud berkembang atau menjadi kaya dan makmur, dan digunakan sebagai ucapan selamat untuk kejayaan dan kekayaan. Dalam dialek Kantonis, sebutan adalah 发 (IPA: [faːt̚˧]). Dalam dialek Hokkien di Malaysia, sebutan menjadi “huat”.

Dalam konteks Asia Tenggara, “huat” telah mengalami proses leksikalisasi budaya. Hal ini menjadi simbol aspirasi mobiliti ekonomi dalam masyarakat perantau. “Huat” bukan lagi kata kerja, tetapi lambang kejayaan kolektif.

Mengapakah setiap bahan disertai ucapan? 

Ikan mentah — 年年有余 (nián nián yǒu yú)
Lobak — 步步高升 (bù bù gāo shēng)
Sos manis — 甜甜蜜蜜 (tián tián mì mì)
Bijian — 顺顺利利 (shùn shùn lì lì)
Kacang — 心想事成 (xīn xiǎng shì chéng)

Mary Fong (2000) dalam kajian ‘Luck Talk in celebrating the Chinese New Year’ menjelaskan bahawa ucapan Tahun Baharu Cina membentuk solidariti sosial melalui ekspresi harapan yang dikongsi. 

Salah satu norma interaksi antara ahli keluarga dan rakan semasa Tahun Baharu Cina adalah menyampaikan ucapan dan harapan baik untuk mewujudkan suasana gembira dan berkongsi tuah. Pada pagi Tahun Baharu Cina, anak-anak akan memberi penghormatan kepada orang tua mereka sambil menyampaikan doa kesihatan dan kemakmuran. Pemilihan ucapan berbeza bergantung kepada nilai yang dihargai oleh individu tersebut. Sebagai contoh, kepada nenek sesuai ucapan kesihatan, kepada ayah sesuai ucapan perniagaan yang menguntungkan dan kepada ibu sesuai ucapan kecantikan.

Salam ini lazimnya disertai gerak tangan, iaitu satu tangan digenggam dan tangan yang lain menutupinya. Secara keseluruhan, ucapan Tahun Bhaaru Cina adalah doa, ritual yang mengukuhkan hubungan, nilai kolektif dan aspirasi bersama. 

Zhuang et al. (2024) pula menunjukkan bahawa ucapan Tahun Baharu Cina di media sosial mencerminkan sistem kognitif kebahagiaan kolektif dalam budaya Cina. 

Semakin banyak ucapan dilafazkan, semakin padat makna simbolik yang digaul bersama.

Kini, Yee Sang bukan lagi milik komuniti Cina. Media tempatan melaporkan bahawa anggota kabinet Malaysia turut memulakan sambutan dengan sesi Yee Sang toss, lengkap dengan ucapan “Xīn nián kuài lè (新年快乐)” bermakna Selamat Tahun Baharu, “Wàn shì rú yì (万事如意)” bermakna semoga segala-galanya berjalan lancar, “Gōng xǐ fā cái (恭喜发财)” bermakna semoga makmur dan berjaya, serta frasa Hokkien “Heng ah, Ong ah, Huat ah” yang melambangkan kemakmuran, tuah dan rezeki (Malaysiakini, 2025).
Tradisi ini telah menjadi simbol kebersamaan.
“Tiga… dua… satu…”
“Huat ah!”

Dan buat pertama kalinya, Sharifah benar-benar memahami bahawa yang digaul itu bukan sekadar hirisan ikan mentah dan sayuran berwarna-warni. Yang digaul adalah bahasa, sejarah, identiti dan harapan, semuanya terhimpun dalam satu dulang yang sama.

Rujukan:
Feng, Y., & Da, Z. Y. (2014). New study of the customs’ origin during the first seven days of the beginning of the Lunar New Year. Journal of Hexi University, 30(6), 111–212. 

Ma, J., Chong, P. H., & Lee, A. C. (2024). Examining Malaysian Chinese lexical variations in newspaper discourse: A Standard Chinese in China perspective. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 9(5).

Fong, M. (2000). ‘Luck talk’ in celebrating the Chinese New Year. Journal of Pragmatics, 32(2), 219–237. Retrieved from https://doi.org/10.1016/S0378-2166(99)00048-X

Zhuang, M., Thienmongkol, R., Nimnoi, R., & Luo, S. (2024). Chinese self-presentations of happiness on social media: A content analysis of New Year wishes. International Journal of China Studies, 199–231. Retrieved from  https://mjs.um.edu.my/index.php/IJCS/article/view/61900

Free Malaysia Today. (2026, February 19). Chinese New Year traditions are shaped closer to home. https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2026/02/19/chinese-n…
Malaysiakini. (2025, January 24). Cabinet members usher in CNY with festive ‘yee sang’ toss. https://www.malaysiakini.com/news/732718

leong

Oleh: Leong Hui Theng
E-mel: leonghuitheng@umpsa.edu.my
Guru Bahasa  
Pusat Bahasa Moden  (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Dr. Nor Yazi Khamis

Oleh: Dr. Nor Yazi Khamis
E-mel: nyazi@umpsa.edu.my 
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden  (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

 

Amy Zulaikha Mohd Ali

Oleh: Amy Zulaikha Mohd Ali
E-mel: amyzulaikha@umpsa.edu.my
Guru Bahasa Kanan
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri