Makmal Kesejahteraan Mahasiswa KPT dalam Semangat K.I.T.A UMPSA
Setiap kali saya berdiri di hadapan mahasiswa, saya sentiasa bertanya kepada diri sendiri adakah kita benar-benar memahami apa yang sedang mereka lalui? Di sebalik senyuman di fakulti, di dewan kuliah, di kolej kediaman, ada cerita-cerita yang tidak selalu terungkap. Ada yang memikirkan tentang yuran dan kos makan. Ada yang menyembunyikan tekanan emosi. Ada yang bergelut mencari rumah sewa yang selamat. Malah, ada yang sekadar mahu didengari. Saya juga sering mengingatkan diri bahawa di sebalik setiap nombor statistik, setiap laporan dan setiap kertas cadangan, ada wajah-wajah anak mahasiswa yang sedang berjuang membina masa depan. Mereka datang dengan harapan ibu bapa, dengan impian peribadi, dan dengan beban realiti yang tidak selalu mudah.
Secara peribadi, saya perlu zahirkan penghargaan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Azlinda Azman, dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Hirman Awang@Semail atas komitmen, kesungguhan dan keikhlasan dalam menggagaskan serta merealisasikan Makmal Kesejahteraan Mahasiswa. Inisiatif ini bukan sekadar satu program, tetapi manifestasi kepimpinan yang mendengar dengan empati dan bertindak dengan tanggungjawab. Penghargaan yang sama saya tujukan kepada seluruh pasukan mahasiswa yang terlibat yang hadir dengan idea, keberanian dan kejujuran untuk berkongsi realiti sebenar kehidupan kampus. Suara yang dikemukakan bukan hanya mewakili diri sendiri, tetapi membawa aspirasi ribuan rakan seperjuangan di universiti masing-masing. Hakikat ini selari dengan Amanat Naib Canselor UMPSA 2026 dengan tema K.I.T.A yang saya kira sangat dekat di hati saya KITA bukan sekadar kata ganti nama, ia adalah prinsip yang membawa makna kebersamaan, tanggungjawab bersama dan rasa memiliki yang tidak berbelah bahagi. Dalam konteks kesejahteraan mahasiswa K.I.T.A bermaksud tiada seorang pun mahasiswa berjalan sendirian di UMPSA.
Kesungguhan makmal ini membuktikan bahawa mahasiswa hari ini bukan sekadar pencari ilmu, tetapi pemikir, pembina solusi dan rakan strategik dalam pembangunan pendidikan tinggi negara. Apabila mahasiswa mencadangkan inisiatif seperti platform keselamatan digital, saluran sokongan kesihatan mental tanpa stigma, bantuan makanan yang lebih tersusun, atau sistem perumahan yang lebih adil, mereka sebenarnya sedang berkata “Kami mahu menjadi baik, tetapi bantulah kami dengan sistem yang memahami.” Dan di sinilah peranan kami sebagai pentadbir dan pemegang amanah mahasiswa seharusnya memberi impak positif dan menyokong. Dalam semangat kebersamaan, kesejahteraan bukan hanya tugas Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) semata-mata. Namun, ia adalah tanggungjawab seluruh ekosistem universiti, bermula daripada kepimpinan tertinggi, pensyarah, pentadbir, staf sokongan, alumni, hinggalah rakan industri. Jika seorang mahasiswa lapar, itu isu K.I.T.A. Jika seorang mahasiswa tertekan, itu kebimbangan K.I.T.A. Jika seorang mahasiswa hampir berputus asa, itu kegagalan K.I.T.A untuk lebih peka.
Saya percaya mahasiswa tidak meminta layanan istimewa. Mereka hanya mahu peluang yang adil untuk berjaya. Mereka mahu ruang yang selamat untuk belajar, persekitaran yang menyokong untuk berkembang dan sistem yang responsif apabila mereka memerlukan bantuan. Sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, saya melihat kesejahteraan mahasiswa sebagai amanah yang sangat peribadi. Setiap keputusan yang kita buat perlu bertanya adakah ini memudahkan atau membebankan mahasiswa? Adakah ini mendekatkan kita kepada semangat K.I.T.A atau semakin menjauhkan?.
Pendekatan ‘Daripada Mahasiswa kepada Mahasiswa’ yang menjadi asas kepada makmal ini amat bermakna. Apabila wakil-wakil mahasiswa, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Ketua Pentadbir dari sema UA dan IPTS duduk semeja bersama semua berkongsi pengalaman sebenar kehidupan kampus, kita dapat merasai denyut nadi yang tulen. Cadangan yang lahir bukan teori di atas kertas. Ia datang daripada pengalaman beratur di kaunter, daripada keresahan mencari rumah sewa, daripada rasa sunyi yang tidak diluahkan dan dari suara akar umbi secara terus dari wakil-wakil mahasiswa. Apabila dapatan makmal ini dibentangkan kepada kepimpinan tertinggi JPT, KPT, ia memberi isyarat jelas bahawa suara mahasiswa bukan sekadar didengar, tetapi diberi perhatian untuk diterjemahkan kepada tindakan. Sebagai pentadbir universiti, saya percaya tanggungjawab kita tidak terhenti pada menyokong idea, tetapi memastikan ia dilaksanakan dengan berintegriti dan berimpak.
Inisiatif seperti platform keselamatan digital dan saluran kaunseling anonim menunjukkan bahawa teknologi boleh menjadi jambatan kepada rasa selamat dan kelegaan emosi. Dalam isu kos sara hidup pula, sistem bantuan makanan yang lebih tersusun dan telus adalah pengakuan bahawa mahasiswa tidak boleh belajar dengan perut yang kosong. Kita tidak boleh bercakap tentang kecemerlangan akademik jika keperluan asas belum terjamin. Begitu juga dengan usaha memperkukuh sokongan kepada mahasiswa OKU, penambahbaikan pengurusan kediaman, serta cadangan bantuan deposit rumah sewa. Semua ini bukan soal kemudahan semata-mata. Ia soal maruah. Soal memastikan setiap mahasiswa, tanpa mengira latar belakang, merasa mereka dihargai dan dilindungi.
Saya juga melihat kepentingan membina budaya kampus yang sihat dan inklusif melalui program pemerkasaan, kesukarelawanan dan aktiviti sukan. Kesejahteraan bukan hanya tentang menyelesaikan masalah, tetapi tentang membina persekitaran yang menyuburkan potensi. Di UMPSA, kita komited untuk menjadikan kesejahteraan mahasiswa sebagai agenda bersama, bukan hanya tanggungjawab Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, tetapi seluruh warga kampus. Pensyarah, pentadbir, rakan industri dan alumni mempunyai peranan masing-masing. Mahasiswa pula bukan sekadar penerima manfaat, tetapi rakan kongsi dalam membentuk ekosistem yang lebih baik. Saya percaya, apabila mahasiswa merasa didengar, mereka akan lebih yakin untuk menyumbang. Apabila mereka merasa dilindungi, mereka akan lebih berani mencuba. Dan apabila mereka merasa dihargai, mereka akan membesar menjadi graduan yang bukan sahaja cemerlang, tetapi berjiwa besar.
Makmal Kesejahteraan Mahasiswa mengingatkan kita bahawa pendidikan tinggi bukan hanya tentang ijazah akademik, tetapi ia tentang perjalanan menjadi manusia yang manusiawi. Amanah saya jelas, memastikan setiap anak muda yang melangkah ke kampus ini bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, tetapi melaluinya dengan rasa sejahtera, bermakna dan bermaruah. Makmal Kesejahteraan Mahasiswa membuktikan bahawa apabila kita membuka ruang dialog yang tulus, mahasiswa mampu mengemukakan idea yang matang, praktikal dan penuh empati terhadap rakan-rakan mereka. Mereka bukan generasi yang lemah. Mereka generasi yang mahu difahami dan diberi kepercayaan.
Dalam semangat K.I.T.A, saya ingin mahasiswa tahu bahawa pintu pejabat saya bukan sekadar simbol, ia benar-benar terbuka. Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua perkara dengan SEGERA, tetapi kita boleh BERJANJI untuk mendengar, berusaha dan berjalan bersama. Kerana akhirnya, universiti ini bukan milik pengurusan tertinggi semata-mata. Ia milik K.I.T.A. dan kesejahteraan mahasiswa bukan agenda sampingan tetapi JANTUNG kepada segala yang kita bina.
Selagi kita berpegang pada semangat K.I.T.A, saya yakin kita mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi kuat jiwa, tinggi nilai dan yakin bahawa sepanjang perjalanan mereka di kampus, mereka tidak pernah bersendirian. Sekali lagi, saya amat yakin apabila suara mahasiswa digembleng bersama kepimpinan institusi dan pembuat dasar, maka terhasil satu ekosistem pendidikan tinggi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga memanusiakan pembangunan. Inilah asas kepada generasi graduan yang bukan sekadar berilmu, tetapi juga sejahtera, berdaya tahan dan bersedia memimpin masa hadapan negara.

Oleh: Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed
E-mel: rusllim@umpsa.edu.my
Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 26 views
Reports by: