Pelajar Antarabangsa cipta memori baharu sambut Ramadan di UMPSA
Sambutan bulan Ramadan dalam kalangan pelajar antarabangsa di UMPSA pada kali ini telah mencipta memori dan pengalaman baharu kepada mereka. Saban tahun sambutan bulan Ramadan yang disambut bersama-sama keluarga tercinta telah bertukar apabila sambutan Ramadan kali ini mereka berada di kampus bagi memulakan semester baharu.
Namun begitu sambutan bulan Ramadan dalam kalangan pelajar antarabangsa ini tetap meriah dan dipenuhi dengan terciptanya memori dan pengalaman baharu sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang merantau ke luar negara untuk menuntut ilmu. Selain pengalaman menghadiri ke kelas dalam keadaan berpuasa serta jauh di perantauan telah mendidik para pelajar ini supaya lebih tabah, sabar, disiplin dan menghargai masa dan peluang untuk dimanfaatkan sepanjang Ramadan. Para pelajar antarabangsa UMPSA yang terdiri dari 14 negara yang berlainan telah mengambil peluang mengadakan majlis berbuka puasa sesama mereka dengan membawa makanan tradisi negara masing-masing. Pertukaran juadah berbuka puasa antara mereka dari pelbagai negara menyaksikan kepelbagaian variasi makanan mengikut kebudayaan masing-masing. Mereka juga mengambil kesempatan untuk mengedarkan dan memperkenalkan makanan tradisi mereka kepada pelajar tempatan dan komuniti setempat.
Seterusnya, persatuan pelajar antarabangsa dari negara Yemen yang dikenali sebagai Yemeni Student Union (YSU) telah menganjurkan majlis berbuka puasa sesama mereka pada 30 Mac 2024 dengan menjemput pelajar antarabangsa dari kawasan sekitar negeri Pahang juga. Majlis berbuka puasa yang diadakan ini bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan pelajar Yemen khususnya di dalam UMPSA dan amnya di sekitar negeri Pahang. Selain berkongsi pelbagai makanan traditional negara Yemen ketika berbuka puasa mereka juga mengerjakan solat isyak dan tarawih jemaah dan diakhiri dengan aktiviti juadah ringan. Menurut Alsabaeei Amr berusia 20 tahun dari Fakulti Komputeran selaku presiden persatuan ini, beliau bersyukur kerana majlis iftar yang dianjurkan oleh persatuan berjalan lancar dan dihadiri hampir oleh semua pelajar Yemen di UMPSA.
Seterusnya para pelajar antarabangsa juga berpeluang berbuka puasa di Masjid Universiti dengan keunikan makan dalam talam. Amalan sunnah Rasulullah SAW iaitu makan bertalam ini secara tidak langsung memberikan peluang kepada pelajar ini mengeratkan silaturahim. Bagi pelajar antarabangsa yang bukan beragama Islam, suasana makan bertalam sebegini sudah semestinya merupakan pengalaman yang baharu. Selain itu, padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) Kuantan yang terletak di hadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad merupakan lokasi tumpuan masyarakat negeri Pahang berkumpul dan berbuka puasa secara beramai-ramai dan para pelajar antarabangsa UMPSA turut tidak melepaskan peluang merasai pengalaman tersebut. Akhir sekali para pelajar antarabangsa melahirkan rasa syukur dan gembira kerana mereka juga diberikan peluang untuk beramah mesra dengan kepimpinan tertinggi UMPSA dengan penganjuran majlis berbuka puasa bersama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Mahkota Pahang. Majlis ini turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’Seri Diraja Dr. Zamry Abd Kadir, Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin serta warga UMPSA.
Kewujudan bazar Ramadan di dalam kampus UMPSA telah memberikan suasana baharu kepada para pelajar antarabangsa kerana mereka dapat mengenali dan mencuba lebih banyak menu makanan di negara ini. Para pelajar antarabangsa berasa sangat teruja melihat pelbagai jenis nasi, makanan tradisional mengikut negeri-negeri di Malaysia, kuih muih yang berwarna-warni serta pelbagai jenis air minuman. Suasana bazar Ramadan sangat meriah dan dikunjungi oleh pelbagai kaum menunjukkan keunikan dan kemakmuran negara ini dengan lebih jelas kepada para pelajar antarabangsa. Sikap saling menghormati dan meraikan kepelbagaian budaya dan bangsa secara tidak langsung memupuk interaksi pelajar antarabangsa bersama pelajar tempatan dengan lebih dekat. Hal ini turut diakui oleh Raed Abdullah pelajar sarjana Fakulti Komputeran apabila melihat toleransi antara masyarakat yang sangat harmoni.
Selain itu, para pelajar antarabangsa juga tidak melepaskan peluang mengunjungi bazar jualan di sekitar Kuantan yang menjual pelbagai jenis pakaian dan keperluan hari raya. Para pelajar ini turut mengambil kesempatan membeli baju raya seperti baju Melayu, samping, songkok, baju kurung, baju kebaya sebagai pakaian mereka untuk meraikan sambutan Aidilfitri. Menurut Nasiru Kamilah Oluwabusolami Adejumoke yang berasal dari negara Nigeria, beliau membeli sepasang baju kebaya dan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di negeri Johor bersama keluarga rakan fakultinya. Beliau memilih baju kebaya untuk dikenakan pada sambutan hari raya kerana baju kebaya dilihat unik dan sangat menarik dengan unsur kemelayuan dan busana ini akan memberikan kelainan kepada dirinya. Beliau juga berhasrat untuk mengirimkan foto-foto sambutan hari raya kepada ibu bapanya di Nigeria. Manakala sekumpulan pelajar lelaki antarabangsa juga telah memilih untuk membeli baju Melayu, samping dan songkok untuk Hari Raya Aidilfitri nanti. Pengalaman pertama kali akan mengenakan set baju Melayu lengkap ini menimbulkan rasa teruja dalam kalangan mereka dan semangat kekitaan bersama-sama dengan warga kampus ini dalam meraikan lebaran yang mulia.
Terdapat juga segelintir pelajar antarabangsa yang diberikan peluang terlibat dengan aktiviti menjadi iman sembahyang terawih di surau bersama-sama dengan penduduk tempatan. Menurut Alsabaeei Amr dari negara Yemen pengalaman tahun lalu menjadi iman sepanjang Ramadan di Surau Wan Ghani membuatkan dirinya lebih yakin pada tahun ini untuk menerima sebarang jemputan sebagai iman atau aktiviti keagamaan yang lain. Layanan baik serta pengalaman yang diterima olehnya menjadikan beliau lebih mengenali komuniti setempat. Para pelajar antarabangsa juga terlibat dengan aktiviti tadarus al-Quran sepanjang Ramadan di UMPSA. Ramadan kali ini juga para pelajar antarabangsa turut terlibat dalam aktiviti rakaman video ucapan Hari Raya Aidilfitri menggunakan bahasa Melayu. Para pelajar berpeluang memberikan ucapan selamat berpuasa dan ucapan hari raya dengan kaedah pengucapan awam, berpantun, dan penghasilan rakaman video pendek.
Rata-rata para pelajar antarabangsa mengakui sebagai perantau yang sentiasa merindui kampung halaman tatkala berjauhan sepanjang bulan Ramadan bersyukur dengan sikap rakyat negara ini yang mesra, baik hati, suka meraikan orang, dan suka tersenyum. Hal ini telah menjadikan sambutan Ramadan mereka lebih bermakna di UMPSA.
Kajang Pak Malau,
Kajang berlipat,
Dari jauh datang merantau,
Ilmu, silaturahim, kenangan semua dapat.
Penulis ialah Guru Bahasa Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Disediakan oleh Jamilah Bebe Mohamad
E-mel: jamilahbebe@umpsa.edu.my
- 174 views