Pelajari Seni Mempertahankan Negara
Mempelajari seni mempertahankan diri merupakan satu bentuk latihan fizikal untuk melindungi diri daripada ancaman fizikal dengan menggunakan pelbagai teknik seperti menumbuk, menendang, pergerakan mengelak, sama ada menggunakan senjata atau tidak. Terdapat pelbagai teknik mempertahankan diri seperti silat dalam masyarakat Melayu, tae kwan do atau judo dari Asia Timur, Muay Thai dari Thailand, dan sebagainya.
Seni mempertahankan negara dalam perbincangan ini membawa maksud cara atau bagaimana untuk mempertahankan negara dari ancaman atau kemasukan kuasa asing serta anasir luar yang tidak baik. Seni mempertahankan negara bukanlah tanggungjawab anggota keselamatan semata-mata, tetapi ia adalah tanggungjawab semua warganegara. Dalam konteks moden hari ini, mempertahankan negara bukan hanya berjuang di medan perang, bahkan merangkumi pelbagai usaha untuk mengekalkan keamanan, kestabilan, dan kedaulatan tanah air daripada sebarang bentuk ancaman, sama ada fizikal atau mental malahan ancaman siber, ideologi dan budaya.
Negara kita telah melalui pendudukan dan penjajahan Barat iaitu British selama lebih beratus tahun. Negara ini juga pernah ditakluki oleh Jepun pada tahun 1942 hingga 1945. Akhirnya, pada 31 Ogos 1957, kita mencapai kemerdekaan dari pendudukan British. Penjajahan British dan Jepun telah meninggalkan banyak pengajaran dan pengalaman kepada masyarakat dan negara ini khususnya yang hidup di zaman penjajahan. Antara cara paling ampuh adalah dengan mempelajari sejarah dan mengambil iktibar dari peristiwa sejarah tersebut. Penjajahan British memaparkan seni campur tangan British di negara ini.
Mempelajari seni penjajahan, maka kita akan memastikan penjajahan tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Pada masa yang sama juga, kita akan sentiasa bersiap sedia untuk mengelak anasir-anasir luar dengan melengkapkan negara dengan kekuatan mental dan fizikal. Kita ambil satu contoh sahaja daripada seni penjajahan British di negara ini iaitu melakukan perjanjian-perjanjian dengan pemerintah. Jadi, generasi pemimpin negara kini perlu berwaspada jika ingin melakukan hubungan dengan negara luar. Selain dari subjek sejarah, aktiviti kokurikulum seperti program khidmat negara atau kadet pertahanan awam, generasi muda dapat memahami erti sebenar perjuangan dan pengorbanan untuk negara.

Globalisasi telah membuka laluan kepada kemajuan teknologi, hubungan perdagangan antarabangsa dan interaksi sosial tanpa sempadan. Tetapi, pada masa yang sama, ia turut membawa risiko seperti kebocoran maklumat, penipuan digital, dan manipulasi media sosial yang boleh menggugat kestabilan, keamanan serta perpaduan negara. Oleh itu, seni mempertahankan negara pada era ini perlu merangkumi pertahanan digital dan mental yang kuat. Ia perlu bagi melindungi data kerajaan, maklumat keselamatan negara, dan privasi setiap warganegara. Dalam hal ini, negara perlu mempunyai tahap keselamatan siber yang tinggi bagi menangani serangan digital yang semakin kompleks. Manakala rakyat pula perlu mempunyai literasi digital, agar mereka lebih berhati-hati terhadap penyebaran maklumat palsu, dan menjaga etika dalam penggunaan media sosial.
Selain aspek teknologi, seni mempertahankan negara dalam Era Globalisasi juga menuntut kekuatan jati diri dan perpaduan nasional. Sebenarnya, rakyat merupakan banteng terkuat dalam pertahanan negara apabila mereka berilmu, berdisiplin, dan cintakan tanah air bagi memastikan kestabilan negara tidak tergugat oleh pengaruh luar. Nilai patriotisme bukan sahaja perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara, malahan media, dan aktiviti kemasyarakatan perlu diperluaskan agar semangat mempertahankan negara sentiasa segar dalam jiwa generasi muda. Patriotisme merupakan semangat kecintaan yang mendalam terhadap tanah air. Ia menjadi nadi utama dalam seni mempertahankan negara. Patriotisme akan melahirkan rakyat yang berdisiplin, setia, dan sanggup berkorban demi kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi.

Selain daripada pasukan keselamatan, rakyat biasa juga turut terlibat dalam seni mempertahankan negara melalui sikap bertanggungjawab, dan memelihara perpaduan. Rakyat harus mematuhi undang-undang, tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menggugat keamanan masyarakat, menghormati agama dan budaya kaum lain yang mana semua ini merupakan bentuk pertahanan sosial yang amat penting.
Dalam dunia yang semakin mencabar, seni pertahanan moden tidak lagi hanya bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi negara perlu menggabungkan kemajuan teknologi moden dengan kebijaksanaan strategi tradisional bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. Apa yang dimaksudkan di sini adalah di samping adanya pertahanan moden yang boleh dilihat dari aspek fizikal, kita juga perlu ada kaedah tradisional yang diwarisi daripada pengalaman dan kebijaksanaan tokoh-tokoh terdahulu seperti disiplin, keberanian, kerjasama, dan semangat juang tetap menjadi tunjang kepada kejayaan sesuatu pertahanan.
Seni mempertahankan negara menuntut kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan bertanggungjawab menggubal dasar keselamatan yang mantap dan melengkapkan pasukan pertahanan dengan teknologi moden. Rakyat pula memainkan peranan melalui disiplin, kesedaran sivik, dan semangat patriotik yang tinggi. Kedua-dua elemen ini perlu digabungkan agar pertahanan negara menjadi kuat dan mantap. Tidak ada gunanya kerajaan menyediakan sistem pertahanan negara yang mantap, canggih dan terkini, tetapi rakyat yang memusnahkan pertahanan negara.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan berteknologi tinggi, strategi pertahanan yang berkesan amat diperlukan bagi melindungi keselamatan dan kedaulatan negara. Strategi ini bukan sahaja melibatkan kekuatan ketenteraan, tetapi turut merangkumi aspek keselamatan siber, kestabilan ekonomi, perpaduan sosial, dan kestabilan politik. Negara perlu bersedia menghadapi ancaman baharu seperti serangan digital, penyebaran maklumat palsu, dan peperangan tanpa senjata yang boleh menggugat kestabilan dalaman.
Kesimpulannya, seni mempertahankan negara pada masa kini bukan sekadar tentang kekuatan senjata, setiap warganegara memainkan peranan penting sebagai pelindung kepada kedaulatan dan keamanan negara tercinta. Seni mempertahankan negara menuntut kebijaksanaan dalam menyeimbangkan antara kekuatan fizikal, intelektual, teknologi dan perpaduan rakyat. Ini kerana ancaman terhadap kedaulatan negara kini muncul dalam pelbagai bentuk baharu seperti ancaman siber, perang maklumat, serta serangan ekonomi dan ideologi.

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 67 views