Penubuhan Malaysia selamatkan kedaulatan Sabah
16 September 1963 merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah Malaysia. Buat pertama kalinya, selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu mengorak langkah untuk membentuk satu gabungan yang besar yang merangkumi Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
Biarpun mengalami beberapa masalah dan cabaran, namun akhirnya Persekutuan Malaysia berjaya direalisasikan pada 16 September 1963. Disebabkan wujud isu politik, Singapura akhirnya keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965. Kini, Persekutuan Malaysia hanya merangkumi Semenanjung, Sabah dan juga Sarawak. Di bawah Persekutuan Malaysia, banyak kejayaan telah dicapai sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial dan isu-isu yang membabitkan keselamatan negara.
Sebagai sebuah wilayah dalam Malaysia, tidak ada pihak yang boleh mempersoalkan kedaulatan Sabah. Kedaulatan dalam Malaysia adalah berasaskan beberapa fakta sejarah dan undang-undang antarabangsa. Isu kedaulatan Sabah menjadi polemik sejak wujudnya tuntutan daripada pihak yang mengakui mereka sebagai keturunan Sulu dari Filipina. Keadaan ini sedikit sebanyak telah memberi tamparan hebat kepada negeri Sabah dan rakyat Sabah kerana mereka sudah menjadi sebahagian dari Malaysia. Untuk meleraikan isu ini, Kerajaan Malaysia secara konsisten dan tegas tetap mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang sah dari segi undang-undang dan sejarah.

Sumber: Arkib Negara Malaysia
Dari aspek sejarah, semasa hendak ditubuhkan Persekutuan Malaysia 1963, majoriti rakyat Sabah telah memilih untuk menyertai Malaysia semasa Suruhanjaya Cobbold menjalankan tinjauan pendapat rakyat Sabah pada tahun 1962. Selain itu, Penubuhan Malaysia telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa termasuklah pengiktirafan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah Malaysia.
Kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah penting untuk mempertahankan kedaulatan Sabah, antaranya Kerajaan Malaysia sentiasa memberi perlindungan kepada Sabah apabila wujudnya campur tangan dan tuntutan asing terhadap Sabah. Contohnya, Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan luar terutamanya dari Filipina yang mendakwa Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah mereka berdasarkan perjanjian lama dengan Kesultanan Sulu. Tuntutan ini dianggap tidak relevan dan tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa moden. Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (2023) menyatakan isu tuntutan pihak yang mendakwa daripada kesultanan Sulu bukan hanya masalah negeri Sabah semata-mata, sebaliknya ia juga merupakan tanggungawab negara untuk menyelesaikannya.
Dari aspek hubungan antarabangsa, Malaysia berpegang kepada prinsip tidak campur tangan dan menghormati kedaulatan negara lain. Jika ada apa-apa isu yang membabitkan hubungan antarabangsa, Kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik untuk menyuarakan bantahan terhadap sebarang kenyataan atau tindakan yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara Malaysia, tidak terkecuali Sabah. Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk di peringkat antarabangsa yang mencabar kedaulatan negara. Untuk itu, kes tuntutan waris Kesultanan Sulu telah ditangani melalui proses undang-undang antarabangsa dan keputusan positif telah menyebelahi Malaysia. Kumpulan Sulu yang mendakwa mereka bebas untuk mengambil tindakan terhadap Sabah, dan berkemungkinan menyewakannya kepada negara lain seperti China atau Filipina, tidak menyebabkan kerajaan berdiam diri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mewakili Kerajaan Malaysia, melawan tuntutan itu memandangkan Sabah adalah sebahagian dari negara ini. Selain itu juga, kerajaan telah merangka strategi perundangan diplomatik dan komunikasi strategik yang lebih agresif. Salah satu daripada usaha berkenaan ialah pelancaran laman sesawang khas Malaysia-sulucase.gov.my pada 12 April 2023. Objektif kewujudan laman sesawang ini adalah untuk menyampaikan maklumat-maklumat tepat dan terkini mengenai tuntutan individu yang merupakan satu ancaman besar kepada kedaulatan negara.

Secara umumnya, kawasan Pantai Timur Sabah sering kali menjadi tumpuan aktiviti jenayah rentas sempadan. Ancaman lanun atau mundu dikatakan masih menjadi ancaman diperairan Sabah dan insiden penculikan di Sipadan oleh Kumpulan Abu Sayyaf (KAS) pada tahun 2000 dan juga beberapa siri penculikan yang masih berlaku. Untuk itu, kerajaan mengambil langkah memperkukuh keselamatan perairan negara, khususnya di Pantai Timur Sabah melalui pendekatan yang menyeluruh merangkumi kawalan keselamatan, kerjasama antarabangsa dan penggunaan teknologi terkini bagi membanteras ancaman jenayah rentas sempadan. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyatakan bagi meningkatkan keselamatan, Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone), Operasi Sanggah Kawasan Keselamatan Timur Saba (ESSCOM) dilaksanakan sebagai inisiatif menyeluruh, bersepadu dan berkesan dalam mengukuhkan kawalan di kawasan berkenaan. Antara langkah berkesan adalah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan ESSZone yang membabitkan enam daerah utama iaitu Lahad Datu, Sandakan, Semporna, Kunak, Kinabatangan, dan Beluran.
Selain itu, kerjasama juga turut diadakan bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Kerajaan telah melaksanakan Op Gasak Laut dan Darat serta Op Bersepadu (OB) di kawasan ESSZone, selain Pusat Pemeriksaan Laut (SCP) sebagai pos kawalan laut di perairan ESSZone serta pengoperasian 40 pos ATM dan 46 pos Pasukan Gerakan Am (PGA). Itulah usaha yang bukan calang-calang dari Kerajaan Malaysia bagi memperkukuh keselamatan dan kedaulatan Sabah. Usaha berterusan kerajaan adalah dengan mengadakan rondaan dan pintasan maritim melalui penggunaan tujuh kapal dan bot ATM, tiga kapal dan 36 bot PDRM, serta tiga kapal dan 14 bot APMM. Dalam pada itu, radar pengawasan strategik dipasang di pulau utama ESSZone, membabitkan lima radar seliaan ESSCOM, sembilan radar ATM dan satu radar pengawasan APMM serta pemasangan sistem pemantauan gentian optik di Pulau Sebatik, Tawau.
Selain dari isu keselamatan, Kerajaan Malaysia juga berusaha mengekalkan kedaulatan Sabah melalui usaha pembangunan pendidikan, program integrasi nasional dan infrastruktur. Belanjawan 2025, mempersiapkan peruntukan untuk pembangunan luar bandar di Sabah bertujuan bagi merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar serta menambah baik kemudahan asas, khususnya dalam menangani isu berkaitan sekolah dan klinik daif dan tumpuan akan diberikan kepada akses penuh kepada kemudahan asas, khususnya jalan raya, bekalan air bersih terawat dan bekalan elektrik. Dalam hal ini, rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, etnik dan agama, perlu bersama-sama mempertahankan hak dan maruah negara. Kesetiaan rakyat Sabah kepada Malaysia merupakan bukti kukuh bahawa wilayah ini adalah milik sah negara Malaysia.
Apa yang dipaparkan di sini hanyalah sebahagian daripada usaha-usaha Kerajaan Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan Sabah. Isu kedaulatan Sabah bukan sekadar soal kedaulatan, tetapi soal maruah, sejarah, dan hak rakyat. Kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan Sabah dari sebarang ancaman luar melalui pendekatan diplomatik, pertahanan, dan pengukuhan perpaduan rakyat. Kedaulatan Sabah dalam Malaysia adalah hak mutlak Malaysia dan tidak boleh dipertikaikan.

Oleh : Dr. Hasnah Hussiin
E-mel : hasnah@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 174 views