Program Latihan Sangkutan, Profesor Dr. Hasan Ahmad Perkukuh Kerjasama Akademik di MBZUH, Emiriah Arab Bersatu
Satu lawatan rasmi telah diadakan oleh Dekan Pusat Sains Kemanusiaan, Profesor Dr. Hasan Ahmad bagi menyertai program latihan sangkutan di Mohamed bin Zayed University for Humanities (MBZUH), Emiriah Arab Bersatu bertujuan meneroka peluang baharu serta memperkukuh kolaborasi akademik antara kedua-dua institusi, khususnya dalam bidang Sains Kemanusiaan dan Pengajian Islam.
Lawatan dimulakan dengan sesi perjumpaan rasmi bersama Dekan Kolej Kemanusiaan MBZUH, Profesor Dr. Zeyad Assalamem. Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik melibatkan pembangunan kurikulum, penyelidikan bersama, mobiliti pensyarah dan pelajar, serta penganjuran wacana ilmiah antarabangsa.
Sepanjang lawatan, beliau turut dibawa melawat kemudahan utama universiti termasuk Pejabat Pentadbiran Kolej, bilik-bilik pensyarah serta kelas pengajaran. Lawatan itu memberi gambaran menyeluruh mengenai ekosistem akademik dan pengurusan MBZUH yang menekankan integrasi tradisi kemanusiaan dan keilmuan Islam dengan pendekatan kontemporari.
Beliau juga mengadakan pertemuan bersama pegawai-pegawai utama universiti, antaranya Dekan Kolej Pengajian Islam, Dekan Kolej Bahasa dan Kesusasteraan, wakil Bahagian Pascasiswazah dan Penyelidikan, serta Bahagian Program Pengajian Sarjana dan Kedoktoran. Perbincangan tertumpu kepada peluang kerjasama dalam penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, penerbitan jurnal berindeks, geran penyelidikan antarabangsa, serta penganjuran seminar dan persidangan bersama.
Antara agenda penting yang dibincangkan ialah pembangunan Program Akademik Bersama dalam Pengajian Islam Kontemporari. Program ini dicadangkan memberi penekanan kepada isu-isu semasa seperti pemikiran Islam moden, dialog antara agama, pembangunan masyarakat madani, serta cabaran globalisasi terhadap dunia Islam. Inisiatif ini diharapkan dapat melahirkan graduan yang berwibawa, berfikiran kritis dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Dalam suasana perbincangan yang harmoni dan konstruktif, kedua-dua pihak turut meneliti peluang Permohonan Geran Antarabangsa dan Dana Penyelidikan Kolaboratif yang mampu memperkukuh jaringan penyelidikan rentas negara. Kerjasama ini dijangka memberi nilai tambah melalui perkongsian kepakaran, sumber akademik serta akses kepada pangkalan data dan jaringan penyelidik global. Tumpuan juga diberikan kepada Penyeliaan Bersama Pascasiswazah, khususnya bagi program Sarjana dan Kedoktoran, yang membolehkan pelajar menerima bimbingan daripada pakar di kedua-dua institusi sekali gus meningkatkan kualiti dan impak penyelidikan.
Selain itu, kedua-dua universiti menyasarkan penghasilan Penerbitan Berimpak Tinggi melalui kolaborasi artikel jurnal berwasit, buku akademik serta prosiding persidangan antarabangsa yang berindeks. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan visibiliti institusi di persada global, malah memperkukuh reputasi akademik dalam bidang Pengajian Islam dan Kemanusiaan kontemporari.
Sebagai penutup program latihan sangkutan, beliau telah dibawa melawat Mohamed bin Zayed Museum yang memaparkan kekayaan peradaban, warisan dan tradisi Emiriah Arab Bersatu. Lawatan ini memberikan dimensi budaya yang signifikan terhadap keseluruhan program, sekali gus memperdalam kefahaman mengenai latar sosial dan sejarah negara tersebut.
Secara keseluruhannya, lawatan ini menandakan satu langkah strategik dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta memperteguh hubungan akademik antara kedua-dua institusi. Diharapkan segala perancangan yang dibincangkan akan direalisasikan melalui persefahaman dan pelaksanaan program bersama dalam masa terdekat.

Oleh: PROFESOR DR. HASAN BIN AHMAD
E-mel: hasanahmad@umpsa.edu.my
Penulis ialah Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 9 views