Pulau Tioman permata tropika tercantik di mata dunia
Pulau Tioman yang terletak di pesisir timur Semenanjung Malaysia, terus memukau pengunjung dengan keindahan semula jadinya yang masih terpelihara. Dalam era pelancongan moden yang semakin rancak, Pulau Tioman kekal sebagai destinasi yang menawarkan ketenangan, keaslian dan pesona tropika yang sukar ditandingi yang satu Ketika dulu merupakan salah satu pulau tercantik di dunia.
Keindahan Alam Semula Jadi yang Tiada Tandingan
Pulau Tioman tampil dengan identiti tersendiri. Ia bukan sekadar pulau, tetapi sebuah pengalaman yang menyentuh jiwa, terutama bagi mereka yang menghargai keindahan alam semula jadi dan budaya tempatan. Salah satu tarikan utama Pulau Tioman ialah pantainya yang memukau, pasir putih yang lembut dan dibaluti air laut yang kristal biru kehijauan. Pantai Salang, Juara, Tekek, dan Air Batang masing-masing menawarkan pengalaman tersendiri, daripada bersantai di bawah matahari hingga meneroka ke dasar laut.
Terumbu karang di perairan sekitar Pulau Tioman turut menjadikan pulau ini sebagai syurga buat penyelam skuba dan selam snorkel (snorkeling). Dengan biodiversiti marin yang sangat tinggi dan memukau, termasuk penyu hijau, ikan pari manta, ikan yu, ikan badut, dan pelbagai spesies karang lembut dan keras serta hutan hujan tropika yang menjadi habitat pelbagai spesies flora dan fauna. Justeru, tidak hairanlah Pulau Tioman menjadi antara destinasi menyelam terbaik di Asia Tenggara. Keaslian ini juga menjadikan Pulau Tioman sebagai syurga duniawi bagi penyelam skuba dan pencinta alam. Ramai pengunjung daripada seluruh dunia datang ke sini semata-mata untuk menyelam di lokasi seperti Tiger Reef dan Pulau Labas. Tioman yang lebih bersifat kontemplasi ini, mengajak pengunjung merenung keindahan ciptaan dan keagongan Tuhan secara holistik dan komprehensif.
Biodiversiti dan Konservasi
Pulau Tioman bukan sahaja merupakan destinasi pelancongan, malah menjadi simbol kepada usaha pemuliharaan alam sekitar. Pelbagai inisiatif telah dijalankan untuk memastikan pembangunan tidak menjejaskan ekosistem pulau, termasuk kawalan terhadap pembinaan dan aktiviti pelancongan. Umum mengetahui bahawa Pulau Tioman terkenal sebagai khazanah biodiversiti tropika yang luar biasa di Malaysia, merangkumi ekosistem daratan dan marin yang sangat kaya dan unik. Hutan hujan tropika di pulau ini menjadi habitat kepada spesies endemik seperti katak Tioman dan pelbagai tumbuhan langka. Manakala perairannya yang dilindungi sebagai sebahagian daripada Taman Hidupan Laut Tioman menyokong lebih 200 spesies terumbu karang serta hidupan marin yang terancam seperti penyu hijau, ikan badut, dan ikan pari manta.
Usaha konservasi yang dijalankan termasuklah penubuhan pusat pemuliharaan penyu di Pantai Juara, aktiviti pendidikan alam sekitar, larangan penangkapan ikan di kawasan taman laut, dan inisiatif pembersihan pantai serta terumbu karang oleh Perbadanan Pembangunan Tioman (TDA). Namun, Tioman masih berdepan ancaman seperti pembuangan sampah oleh nelayan luar, pencemaran laut, pemanasan global yang menyebabkan pemutihan karang, serta aktiviti penangkapan ikan secara haram oleh pihak luar yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, konservasi berterusan dengan pendekatan pembangunan lestari, penguatkuasaan undang-undang yang tegas, serta penglibatan aktif kakitangan TDA, komuniti dan pelancong dalam memelihara ekosistem pulau adalah amat penting. Pulau Tioman bukan sahaja menyumbang kepada keseimbangan ekologi dan sumber ekonomi melalui pelancongan, tetapi juga merupakan aset semula jadi negara yang perlu dilindungi untuk generasi masa depan agar kekal sebagai permata tropika di mata dunia.
Pembangunan dan Pengkomersialan Mapan
Pulau Tioman menampilkan model pembangunan dan pengkomersialan mapan yang unik, berbeza daripada pulau komersial lain di dunia. Keindahan semula jadinya kekal asli dan organik, menjadikannya sebuah destinasi tropika yang memukau tanpa kehilangan identiti alam semula jadinya. Dalam dekad mutakhir ini, peningkatan akses dan kemudahan infrastruktur telah memperluas lagi potensi pelancongan, menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa. Namun, perjalanan ke Pulau Tioman melalui jeti Mersing atau Tanjung Gemok masih mengekalkan elemen eksklusif yang menjadikan perjalanan ke sana lebih berbaloi bagi mereka yang benar-benar menghargai pengembaraan hijau yang dinamik lagi inklusif. Ini menjadikan pengalaman ke Pulau Tioman lebih berbaloi bagi pencinta alam yang menghargai pengembaraan hijau dan lestari. Keindahan Pulau Tioman bukan sekadar pada landskapnya, tetapi pada komitmen pulau ini terhadap pembangunan yang seimbang antara manfaat ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar. Model ini mencerminkan satu pendekatan pelancongan yang dinamik dan kondusif serta menjadikan Pulau Tioman bukan sekadar destinasi perlancongan ternama, tetapi simbol kelestarian tropika di dunia.
Kehidupan Komuniti dan Budaya Tempatan.
Di sebalik keindahan landskapnya yang mempersonakan, Tioman juga dihuni oleh komuniti kecil yang mesra, terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina dan Orang Asli. Statistik bancian tahun 2021 menunjukkan penduduk Tioman adalah seramai 3,347 orang dengan pecahan demografi jantina lelaki seramai 1,761 orang dan Perempuan seramai 1586 orang (TDA, 2021). Penduduk tempatan di Pulau Tioman juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan budaya dan warisan pulau. Kehidupan kampung yang sederhana, keramahan penduduk, dan makanan tradisional yang autentik menambah nilai kepada pengalaman pelancong. Perkampungan seperti Tekek dan Juara menawarkan pengalaman autentik di mana pelancong dapat berinteraksi dengan penduduk tempatan, merasai makanan tradisional seperti nasi dagang dan laksa Pahang, serta mengenali seni kraf tangan yang unik dan cara hidup masyarakat pulau yang mengasyikkan. Pembangunan di pulau ini sangat terkawal yang membantu mengekalkan identiti asli Pulau Tioman. Walaupun terdapat kemudahan moden seperti lapangan terbang kecil dan beberapa resort mewah, suasana desa yang tenang dan damai masih kekal sebagai daya tarikan utama yang lestari.
Pelancongan Lestari
Bagi pencinta fotografi, Pulau Tioman menawarkan sudut-sudut yang dramatik dan memukau, dari pantainya yang berpasir putih hingga ke puncak Gunung Kajang yang diselubungi kabus. Setiap detik di Pulau Tioman adalah potret keindahan yang tidak memerlukan suntingan. Dalam konteks pelancongan lestari, Pulau Tioman lebih menepati ciri-ciri destinasi yang mesra alam. Ia menggalakkan pelancongan berasaskan komuniti dan pendidikan alam sekitar selaras dengan aspirasi negara untuk mempromosikan pelancongan bertanggungjawab dan beretika dengan mindset global dan lokal (Glokal).
Potensi Masa Hadapan
Pulau Tioman juga mempunyai potensi besar untuk dijadikan lokasi program pendidikan dan penyelidikan alam sekitar. Universiti dan institusi penyelidikan seperti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telahpun merintis kemampanan biodiversiti dan konservasi di Pulau Tioman melalui teknologi lestari semenjak tahun 2012 hingga kini dan akan menjalinkan kolaborasi bersama TDA yang boleh menjadikan pulau ini sebagai pusat penyelidikan sehenti yang bertindak sebagai makmal hidup untuk kajian biodiversiti dan pemuliharaan. Jalinan kerjasama ini akan memacu TDA, Kerajaan negeri dan agensi pelancongan dalam melestarikan kecemerlangan melalui slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ yang memberikan perhatian kepada pembangunan Pulau Tioman secara holistik dan dinamik. Promosi yang berterusan, infrastruktur yang mesra alam dan sokongan kepada komuniti setempat akan menjadikan Tioman sebagai destinasi unggul di rantau ini.
Kesimpulan
Pulau Tioman bukan sekadar lokasi percutian semata-mata, ia adalah anugerah alam yang menyimpan kekayaan biodiversiti, budaya, dan sejarah yang tidak ternilai. Di saat dunia semakin dipenuhi dengan pembangunan pesat dan pencemaran, Pulau Tioman tampil sebagai contoh unggul bagaimana alam semula jadi dapat dipelihara dengan bijak tanpa menafikan manfaat ekonomi daripada sektor pelancongan. Sebagai permata tropika tercantik di mata dunia, Tioman bukan hanya milik Malaysia, tetapi khazanah dunia yang harus dihargai dan dilindungi. Setiap langkah di pasir pantainya, setiap renangan di laut birunya, dan setiap hembusan angin dari hutan hujannya, menyampaikan satu mesej jelas bahawa keindahan sebenar terletak pada keharmonian antara tuhan, manusia dan alam. Akhirnya, pilihan destinasi pengunjung akan bergantung kepada jiwa pengembara dengan informasi yang interaktif, hijau dan segar. Namun, bagi mereka yang mencari ketenangan, keaslian, dan keindahan yang tidak terusik, Tioman adalah jawapannya yang merupakan sebuah destinasi utama permata tropika yang menanti untuk diterokai yang tercantik di mata dunia.

Oleh: PROFESOR MADYA. DR. ABDUL SYUKOR ABD RAZAK
E-mel: syukor@umpsa.edu.my
Penulis adalah Fellow Bersekutu dan Profesor Madya di Pusat Bioaromatik, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 82 views