UMPSA memperluas kerjasama strategik global di Forum Pendidikan Tinggi antara Kerajaan Malaysia dan Republik Uzbekistan
TANJUNG MALIM, 4 Februari 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperluas jaringan kerjasama strategik globalnya dengan memeterai jalinan baharu dalam Forum Pendidikan Tinggi antara Kerajaan Malaysia dan Republik Uzbekistan, yang dianjurkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Forum itu adalah anjuran bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan serta UPSI.
Majlis perasmian forum telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Inovasi Republik Uzbekistan, TYT Konratbay Sharipov.
Forum yang bertemakan ‘Uzbekistan-Malaysia: Opportunities and Initiatives for Achieving Sustainable Development Goals in Higher Education’ itu diadakan sebagai platform strategik untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan tinggi, sains, dan inovasi.
Forum itu merangkumi sesi pleno dan perbincangan mengenai pembangunan sosioekonomi strategik, ekonomi hijau, kecerdasan buatan (AI), meta-teknologi serta perbankan Islam dalam Era Teknologi Kewangan (fintech).
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, forum ini telah menyediakan platform strategik untuk UMPSA memperkukuh hubungan antarabangsa, khususnya dalam menyokong Sustainable Development Goals (SDGs) melalui penyelidikan, inovasi, dan kerjasama akademik rentas sempadan.
“UMPSA kekal komited dalam usaha menjalinkan kolaborasi global yang memberi impak positif terhadap landskap pendidikan tinggi antarabangsa,” ujarnya.
Selain itu, ia turut menyaksikan pemeteraian surat niat (Letter of Intent), memorandum persefahaman (MoU), dan memorandum perjanjian (MoA), di samping pameran serta persembahan kebudayaan yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam pendidikan tinggi.
Salah satu pencapaian utama forum ini ialah pemeteraian LoI antara UMPSA dan Fergana Polytechnic Institute, yang menandakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama penyelidikan dan pertukaran akademik.
Delegasi UMPSA turut mengadakan perbincangan dengan Rektor Fergana Polytechnic Institute, Profesor Dr. Uktam Solomov bagi meneroka inisiatif penyelidikan bersama serta program pertukaran pelajar.
Di samping itu juga, UMPSA turut memeterai satu lagi LoI dengan ‘Silk Road’ University of Tourism and Cultural Heritage, susulan perbincangan yang produktif bersama Timbalan Rektor, Profesor Dr. Dilmurod.
Selain Naib-naib Canselor universiti awam dan swasta, forum ini turut melibatkan seramai 28 orang rektor dari universiti terkemuka di Uzbekistan.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa (PUHA), Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari, Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik, Profesor Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab dan beberapa orang pegawai UMPSA.
Disediakan Oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor Dan Nur Ezzati Mohd Nasir, Pusat Hubungan Antarabangsa
- 219 views