Skip to main content

UMPSA unggul di kedudukan ke-153 terbaik Asia dalam QS World University Rankings: Asia 2026

PEKAN, 4 November 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus membuktikan keunggulannya di persada pendidikan tinggi apabila tersenarai dalam kelompok 200 universiti terbaik Asia, menduduki kedudukan ke-153 terbaik di Asia dan ke-41 di Asia Tenggara menerusi penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2026 yang diumumkan hari ini. 

Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan reputasi antarabangsa, dengan peningkatan daripada kedudukan ke-159 pada tahun lalu. 

Bagi edisi 2026, UMPSA berada dalam kalangan 11% teratas di Asia dalam penarafan yang dikeluarkan oleh agensi penarafan Quacquarelli Symonds Limited yang berpangkalan di London. 

Sebanyak 1,526 universiti di Asia yang tersenarai bagi edisi tahun ini dengan 550 daripadanya merupakan penyertaan baharu.

Pencapaian membanggakan ini turut menyaksikan UMPSA berada di tangga ke-19 terbaik di Malaysia, sekali gus dinobatkan sebagai universiti terbaik dalam kalangan Malaysia Technical University Network (MTUN).

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan berprestij itu.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen seluruh warga universiti dalam memperkukuh budaya kecemerlangan akademik, penyelidikan dan jaringan industri.

“Kedudukan ini adalah hasil usaha berterusan seluruh warga UMPSA dalam memperkukuh reputasi akademik, memperluas kolaborasi antarabangsa serta meningkatkan impak penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri,” ujar beliau.

QS World University Rankings: Asia merupakan sistem penarafan global yang menilai prestasi universiti berdasarkan pelbagai indikator utama termasuk Academic Reputation (30%), Employer Reputation (20%), Faculty Student Ratio (10%), International Research Network (10%), Citations per Paper (10%), Papers per Faculty (5%), Staff with PhD (5%), International Faculty (2.5%), International Students (2.5%), serta Inbound dan Outbound Exchange Students (masing-masing 2.5%).

Tambah Profesor Dr. Yatimah lagi, kejayaan ini bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa terhadap kecemerlangan UMPSA, malah menjadi dorongan untuk universiti terus melonjak ke hadapan seiring visi university menjadi universiti teknikal unggul bertaraf dunia menjelang tahun 2030.

“Kita akan terus memperkukuh kekuatan dalam bidang teknikal, kejuruteraan dan teknologi, di samping memperluas impak sosial kepada komuniti setempat dan industri melalui pendekatan lestari serta inovatif,” katanya.

Kejayaan ini turut diraikan seluruh warga UMPSA sebagai bukti nyata bahawa UMPSA semakin diiktiraf di peringkat serantau, sekali gus mengangkat nama Malaysia dalam landskap pendidikan tinggi global.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
AINIEY