Skip to main content

Mahasiswa luar kampus terima sumbangan makanan YaPEIM dan UMP

Pekan, 15 Oktober 2020 -  Seramai 200 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang tinggal di luar kampus dan tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing telah menerima sumbangan makanan dalam program Foodbank 2.0 anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Penyerahan sumbangan itu diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengurus YaPEIM Negeri Pahang, Nor Khalilah Hanaim Abdul Hamid. 

Dalam majlis itu, Nor Khalilah Hanaim menyerahkan mock cek sebagai simbolik penyerahan sumbangan makanan bernilai RM10,800 kepada Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin di Bilik Mesyuarat Pusat Aktiviti Pelajar, UMP Pekan. 

Menurut  Nor Khalilah Hanaim,  program ini merupakan kesinambungan pada tahun lepas yang telah menyumbang barangan makanan bernilai RM 7,500  kepada 250 pelajar UMP yang memerlukan dan alhamdulillah pada kali ini sebanyak RM10,800 buat mahasiswa.
 
“Bantuan yang disalurkan kali ini mengambil kira kekangan serta kesulitan yang dihadapi pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing akibat dari pandemik COVID-19.
 
“Sumbangan ini juga merupakan sumbangan orang ramai yang telah diberikan kepada YaPIEM agar pihak YaPIEM mengembalikan sumbangan tersebut kepada orang yang memerlukan  termasuklah para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
 
“Pada  tahun ini, YaPIEM Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM54,000  bagi beberapa IPT di negeri Pahang yang melibatkan serramai 1,000 orang pelajar,” katanya.

Beliau juga menyeru sekiranya terdapat individu yang ingin menyumbang boleh menggunakan aplikasi mudah alih SnapNPay atau QRPay.
 
Manakala Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie pula mengucapkan terima kasih kepada pihak YaPIEM atas sumbangan ini. 

Beliau berharap sumbangan ini dapat meringankan beban pelajar tambahan pula segelintir dari mereka yang kini menduduki peperiksaan secara dalam talian.
 
Penyerahan sumbangan itu melibatkan 30 buah rumah sewa pelajar di sekitar UMP Pekan dan 20 lagi di sekitar UMP Kampus Gambang yang diagihkan secara serentak. 

Penyerahan sumbangan turut melibatkan 15 sukarelawan pelajar dan staf Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA). 

Selain makanan seperti biskut, roti dan minuman, mereka juga turut menerima sumbangan barangan keperluan seperti beras, minyak, gula, tepung,  susu dan lain-lain lagi.

Salah seorang penerima yang merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa), Jeff Collven Anak Claisdell Lorren, 23, turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada YaPIEM dan UMP. 

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan kami sepanjang berada di sini.
 
“Saya dan rakan serumah mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung halaman di Sabah dan Sarawak kerana ingin memastikan talian internet yang stabil semasa Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) dalam talian sepanjang semester ini,” katanya. 

Beliau bersyukur atas keprihatinan pihak universiti membantu mahasiswa termasuk yang di luar kampus.  
 
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris