Selam Scuba tarikan baharu mahasiswa UMP
Pulau Perhentian, 24 Julai 2020 – Suatu pengalaman baharu buat mahasiswa yang meminati aktiviti selam skuba apabila ia mula diperkenalkan sebagai aktiviti terbaharu anjuran Pusat Kokurikulum Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Baru-baru ini seramai 15 mahasiswa yang terdiri daripada badan beruniform dan pelajar kelas UQS2171 bersama empat orang staf UMP berpeluang mengikuti program latihan Sea Survival & Open Water Scuba Diving (SCUBA) SIRI 11 anjuran Pusat Kokurikulum, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).
Program yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya memberikan impak positif kepada para peserta meliputi peningkatan sifat keyakinan diri, keberanian, ketahanan fizikal dan mental khususnya dalam kalangan pelatih badan beruniform.
Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum UMP, Dr. Siti Rabiatul Aisha Idris, sukan skuba ini merupakan salah satu sukan air yang ekstrem dan kian mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat.
“Ia dilakukan dengan pelbagai tujuan antaranya termasuklah saintifik, ketenteraan, keselamatan atau rekreasi.
“Menerusi program ini juga, para peserta berpeluang mempelajari perkara asas berkaitan selaman skuba, kelas teori, teknikal dan praktikal serta ujian bertulis bagi melayakkan peserta memperoleh lesen Open Water Diver daripada Professional Association of Diving Instructors (PADI).
“Di samping membina mental dan fizikal yang sihat, program ini juga dapat menanam sifat berani dan berupaya mengatasi perasaan takut serta menjadi nilai tambah kepada pelajar apabila menamatkan pengajian kelak,” katanya.
Menurut peserta dari UMP Pekan, Seri Liyana Ezamzuri, beliau sangat bersyukur dan teruja dengan peluang, ruang dan pengalaman yang diberikan dalam mengikuti program SCUBA yang mencabar ini.
Manakala bagi Amzar Aisar Abdullah yang merupakan pelajar dari UMP Gambang pula berpendapat program ini merupakan suatu pengalaman yang berharga dalam hidupnya kerana dapat mengikuti aktiviti sukan ekstrem.
“Ia bukan sahaja dapat meneroka keindahan bawah laut malahan mengajarnya sentiasa bertenang di saat berada di dasar laut,” ujar beliau.
Program ini juga turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Menurut beliau, Pusat Selaman UMP dijangka akan mula beroperasi secara berperingkat pada akhir tahun ini.
“Ia boleh digunakan untuk latihan berasaskan air seperti selaman, aktiviti menyelamat di dalam dan permukaan air serta aktiviti berbentuk water confident.
“Program seumpama ini akan terus dijalankan setiap tahun memandangkan ia dapat memberikan impak yang sangat positif dalam kalangan pelajar dan staf universiti,” ujar beliau.
Disediakan Oleh : Dr. Siti Rabiatul Aisha Idris dan Mohamad Najib Mohamad Nor, Pusat Kokurikulum UMP
- 571 views