Skip to main content

UMPSA cipta sejarah universiti pertama di Malaysia terima pengiktirafan Eco-Campus Green Flag

KUALA LUMPUR, 18 September 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diumum sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa Eco-Campus Green Flag pada Persidangan Antarabangsa Eco-Campus (ECIC) 2025 yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kuala Lumpur.

Pengiktirafan disampaikan bersempena dengan Majlis Pelancaran Program Eco-Campus Malaysia yang disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan titah diraja baginda dibacakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku wakil rasmi baginda.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Pengarah Eksekutif, Green Growth Asia Foundation (GGAF), Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad, Presiden Foundation for Environmental Education (FEE), Denmark, Nikos Petrou, Koordinator Greening Education Partnership, UNESCO Paris,  Katrina Ananiadou, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Aluas dan Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian, Dr. Suhaidah Hussain. 

Datuk Ts. Mustapha berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen kementerian melalui UMPSA untuk menjadikan kelestarian sebagai teras pembangunan universiti dan seiring dengan Plan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035.

“UMPSA telah membuktikan bahawa pendekatan makmal hidup, tadbir urus data karbon serta perkongsian industri mampu diterjemahkan ke dalam ekosistem kampus. 

“Kejayaan ini menjadi penanda aras kepada semua IPT di negara ini,” ujarnya. 

Dalam masa yang sama, UMPSA turut memeterai kerjasama dengan Green Growth Asia Foundation (GGAF) yang memfokuskan dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berkaitan kajian rawatan sisa pepejal, bahan mesra alam, kajian  pengurusan sisa komuniti dan menjayakan program Eco-Campus di UMPSA. 

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias bertukar dokumen dengan Pengarah Eksekutif Green Growth Asia Foundation (GGAF), Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad. 

UMPSA cipta sejarah universiti pertama di Malaysia terima pengiktirafan Eco-Campus Green Flag

Dengan termeterainya MoU strategik dan pelancaran Eco-Campus Malaysia, UMPSA kini berada di barisan hadapan sebagai universiti teknikal berteraskan TVET hijau dan inovasi lestari yang diiktiraf di peringkat dunia.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, kerjasama strategik ini merangkumi penyelidikan dan inovasi kelestarian dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa dan biodiversiti, pembangunan modul micro-credential hijau bersama industri bagi melahirkan graduan berkemahiran pekerjaan hijau (green jobs) serta menyediakan khidmat nasihat pakar dalam SDG dan ESG. 

“MoU ini dijangka membuka ruang kolaborasi lebih luas dalam bidang TVET hijau, penyelidikan ESG, serta pembelajaran fleksibel dan sepanjang hayat, selari dengan Pelan Strategik UMPSA25 dan aspirasi Greening Education Partnership (UNESCO),” katanya. 

Selain itu, kerjasama ini turut memanfaatkan pelaksanaan projek kampus rendah karbon melalui konsep living labs, serta program pertukaran akademik dan kepakaran antarabangsa dengan universiti rakan Foundation for Environmental Education (FEE) dari lebih 40 negara.

Sementara itu, Presiden FEE, Dr. Nikos Petrou menekankan bahawa program Eco-Campus dan Eco-Schools merupakan jambatan antara komitmen global dengan tindakan di akar umbi.

“Dengan lebih 40 tahun pengalaman, FEE memastikan pendidikan kelestarian bukan sekadar slogan, tetapi menghasilkan perubahan nyata melalui indikator yang boleh diaudit serta memberi kesan terus kepada pelajar, kampus dan komuniti,” katanya.

Manakala Pengarah Eksekutif GGAF, Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad pula menegaskan bahawa Malaysia kini menunjukkan kepimpinan jelas dalam pendidikan alam sekitar melalui kepimpinan pelajar, modul berfokuskan industri dan hasil kelestarian yang boleh diukur.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Pelan Induk Pemerkasaan Masa Depan Hijau Malaysia (Empowering Malaysia’s Green Future Masterplan 2025–2030) atau EMGF yang memberi hala tuju kepada transformasi lebih 10,000 sekolah dan institut pendidikan guru, menyokong 200,000 orang tenaga pengajar serta membina ekosistem nasional pendidikan kelestarian.

ECIC 2025 berjaya menghimpunkan lebih 200 delegasi daripada 48 buah negara termasuk penggubal dasar, akademia, pelajar, industri dan pertubuhan antarabangsa.

 
Persidangan ini membincangkan peranan universiti sebagai pemangkin ekonomi hijau, termasuk pembangunan micro-credential hijau, pekerjaan hijau (green jobs), bursa data ESG serta keterlibatan komuniti.

GAFF memfokuskan kepada pendidikan kelestarian, inovasi hijau dan pembangunan lestari serta memperkasa belia dan komuniti melalui inisiatif seperti Eco-Schools, Eco- Campus dan Young Reporters for the Environment, di samping latihan, pensijilan serta pembinaan kapasiti untuk institusi pendidikan, kerajaan tempatan dan sektor swasta. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri