Skip to main content

UMPSA, UMK dan MIGHT jalin kerjasama strategik bangunkan industri unsur nadir bumi negara

CYBERJAYA, 16 Julai 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Malaysia Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan, inovasi dan pemerkasaan komersialisasi dalam bidang unsur nadir bumi atau Rare Earth Elements (REE).

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias bertukar dokumen MoU bersama Naib Canselor UMK, Profesor Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Ts. Rushdi Abdul Rahim dalam program yang berlangsung  di MIGHT, Cyberjaya.

UMPSA, UMK dan MIGHT jalin kerjasama strategik bangunkan industri unsur nadir bumi negara

Menurut Profesor Dr. Yatimah, MoU ini dijangka membuka ruang kolaborasi strategik ke arah pembangunan teknologi dan penyelidikan REE yang mampan, bertanggungjawab dan berpandangan jauh.

“Kerjasama ini merupakan satu titik penting dalam menyatukan kekuatan teknikal UMPSA, keusahawanan UMK dan keupayaan penyelarasan strategik MIGHT.

“Hari ini bukan sekadar perjanjian formal, tetapi satu manifestasi komitmen dan visi bersama untuk menerajui pembangunan REE secara beretika dan mampan. 

“Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber (SMRRT) yang telah menjadi teras kepada pembangunan penyelidikan REE sejak 2013, kini bersedia untuk memperluas peranannya melalui kolaborasi bersama rakan-rakan strategik seperti MIGHT dan UMK,” ujarnya. 

MoU ini merangkumi beberapa teras kerjasama utama termasuk menjalankan penyelidikan bersama yang berpotensi menghasilkan harta intelek dan produk komersial, dana penyelidikan nasional terutamanya melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), perkongsian kepakaran teknikal, pembangunan program latihan serta akses bersama kepada fasiliti penyelidikan serta menganjurkan seminar, bengkel dan persidangan bersama bagi memupuk perkongsian ilmu yang berterusan.

UMPSA, UMK dan MIGHT jalin kerjasama strategik bangunkan industri unsur nadir bumi negara

Sementara itu Ts. Rushdi menyatakan keyakinan terhadap potensi Malaysia untuk muncul sebagai peneraju dalam pembangunan REE yang bertanggungjawab secara global melalui kerjasama seumpama ini.

“Saya percaya sinergi antara akademia, industri dan kerajaan adalah kunci kepada kemajuan teknologi negara,” katanya. 
Inisiatif ini turut memperkukuh kehadiran Malaysia dalam pelaksanaan National Advanced Materials Technology Roadmap 2021–2030 yang memperlihatkan penglibatan aktif UMPSA melalui pelantikan Pengarah Pusat SMRRT sebagai ahli Konsortium Bahan Termaju Kebangsaan sejak tahun 2024.

Majlis pada hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, wakil pengurusan kanan dari UMK dan MIGHT.

Kerjasama strategik ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi berasaskan teknologi tinggi serta memastikan pengurusan sumber bumi negara dijalankan dengan penuh integriti dan tanggungjawab demi kelestarian masa depan Malaysia.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
AINIEY