Skip to main content

UMPSA terima pengiktirafan EcoCampus Green Flag Pertama ASEAN

GAMBANG, 13 Februari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diiktiraf sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama ASEAN menerima pengiktirafan antarabangsa EcoCampus Green Flag.

Dengan pengiktirafan ini UMPSA kini berada di barisan hadapan sebagai universiti teknikal berteraskan TVET hijau dan inovasi lestari yang diiktiraf di peringkat dunia.

Pengiktirafan disampaikan Pengarah Eksekutif, Green Growth Asia Foundation (GGAF), Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad kepada Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bersempena dengan Majlis Amanat Naib Canselor 2026 baru-baru ini.
 
Hadir menyaksikan peristiwa bersejarah ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan turut dihadiri Ketua Eksekutif, GGAF, Dr. Balamurugan Ratha Krishnan dan Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian, Dr. Suhaidah Hussain.

Pengiktirafan itu membuktikan komitmen UMPSA untuk menjadikan kelestarian sebagai teras pembangunan universiti dan seiring dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

UMPSA terima pengiktirafan EcoCampus Green Flag Pertama ASEAN

Menurut Profesor Dr. Yatimah, UMPSA komited dalam melaksanakan penyelidikan dan inovasi kelestarian dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa dan biodiversiti, pembangunan modul micro-credential hijau bersama industri bagi melahirkan graduan berkemahiran pekerjaan hijau (green jobs) serta menyediakan khidmat nasihat pakar dalam SDG dan ESG.

“UMPSA telah membuktikan bahawa pendekatan makmal hidup, tadbir urus data karbon dan perkongsian industri mampu diterjemahkan ke dalam ekosistem kampus.

“Kejayaan ini menjadi penanda aras kepada semua IPT di negara ini.

“UMPSA juga turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Green Growth Asia Foundation (GGAF) yang memfokuskan dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berkaitan kajian rawatan sisa pepejal, bahan mesra alam, kajian pengurusan sisa komuniti dan menjayakan program EcoCampus di UMPSA,” katanya bersempena dengan Majlis Amanat Naib Canselor UMPSA 2026 yang berlangsung di UMPSA Kampus Gambang.

Tambah beliau, pengiktirafan ini bakal membuka ruang kolaborasi lebih luas dalam bidang TVET hijau, penyelidikan ESG, serta pembelajaran fleksibel dan sepanjang hayat, selari dengan Pelan Strategik UMPSA30 dan aspirasi Greening Education Partnership (UNESCO). 

Selain itu, ia turut memanfaatkan pelaksanaan projek kampus rendah karbon melalui konsep living labs, serta program pertukaran akademik dan kepakaran antarabangsa dengan universiti rakan Foundation for Environmental Education (FEE) dari lebih 40 negara.

Dalam pada itu, pencapaian ini bakal membuka ruang kolaborasi lebih luas dalam bidang TVET hijau, penyelidikan ESG, serta pembelajaran fleksibel dan sepanjang hayat, selari dengan Pelan Strategik UMPSA30 dan aspirasi Greening Education Partnership (UNESCO).

Manakala Pengarah Eksekutif GGAF, Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad berkata, pihaknya mengucapkan tahniah atas pengiktirafan ini dan menunjukkan kepimpinan jelas universiti dalam pendidikan alam sekitar melalui kepimpinan pelajar, modul berfokuskan industri dan hasil kelestarian yang boleh diukur.

GAFF memfokuskan kepada pendidikan kelestarian, inovasi hijau dan pembangunan lestari serta memperkasa belia dan komuniti melalui inisiatif seperti Eco-Schools, EcoCampus dan Young Reporters for the Environment, di samping latihan, pensijilan serta pembinaan kapasiti untuk institusi pendidikan, kerajaan tempatan dan sektor swasta.

UMPSA juga berbangga apabila kampus UMPSA di Pekan diiktiraf 4 Diamond dalam Kategori Zon bagi Low Carbon City 2030 Challenge (LCC2030C) Tahun 2025 baru-baru ini.

LCC2030C adalah program mengurangkan jejak karbon di bandar terutamanya yang dijalankan oleh MGTC yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES). 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri