Pembelajaran Outdoor Dalam Norma Baharu: Apakah Cabarannya?
Oleh: Dr. Siti Rabiatull Aisha Idris
e-mel: rabiatull@ump.edu.my
Populariti aktiviti outdoor khususnya sukan-sukan ekstrem kian mendapat tempat dalam kalangan belia sejak kebelakangan ini. Industri dalam bidang berkaitan juga kian berkembang dan semakin mendapat tempat di Malaysia. Walau bagaimanapun, pandemik yang melanda negara baru-baru ini telah mengubah norma aktiviti outdoor ini sekali gus menimbulkan persoalan apakah pembelajaran outdoor akan mendapat sambutan seperti sebelumnya atau sudah berubah ke arah pembelajaran di atas talian.
Jika dilihat dari sudut yang baharu, pembelajaran dalam talian (online) telah memacu industri akademik di kala ini. Pelbagai aplikasi dalam talian digunakan bagi menarik minat pelajar mahupun mahasiswa universiti untuk meneruskan pembelajaran mereka. Ini termasuklah permainan dalam talian yang semakin mendapat sambutan, sungguhpun pada suatu masa dahulu ia sering dilarang oleh para ibu bapa. Kaedah yang diguna pakai ini merupakan antara norma baharu yang tidak diperkenalkan secara besar-besaran sebelumnya. Apakah di masa mendatang keadaan ini masih diteruskan ataupun sebaliknya? Kita perlu lihat kesannya ke atas individu sekiranya pembelajaran dalam talian mendominasi pembelajaran outdoor dan mengetepikan aktiviti atau sukan outdoor.
Seperti mana yang diketahui, kursus kokurikulum di semua peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah penting bagi mewujudkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa. Antara kemahiran insaniah yang diterapkan termasuklah kemahiran berkomunikasi, kemahiran bekerja di dalam kumpulan, kemahiran kepimpinan dan etika serta profesionalisme. Kursus yang dijalankan ini rata-rata menggunakan alam sekitar atau outdoor sebagai medium pembelajaran. Sekiranya medium ini tidak dapat digunakan atau telah ditukar kepada pembelajaran di atas talian, sudah pasti hasil yang diperoleh adalah tidak sama. Sebagai contoh, pemimpin yang memimpin rakyat atau pekerja dengan hanya menggunakan medium dalam talian sahaja, bagaimana sifat empati dapat diterapkan dalam jiwa seorang pemimpin tersebut. Keluh-kesah dan susah-senang rakyat atau pekerja menjalani kehidupan seharian tidak dapat difahami oleh pemimpin tersebut. Bantuan mungkin sampai kepada rakyat atau arahan kerja oleh ketua mungkin dilaksanakan, namun nilai-nilai kemanusiaan hampir tidak dapat digarap. Ini dikatakan kemerosotan sifat belas kasihan dan ihsan sekiranya kemahiran insaniah melalui medium outdoor tidak diteruskan.
Secara dasarnya, pembelajaran dalam talian memfokuskan domain kognitif dan tumpuan utama adalah peperiksaan. Mahasiswa yang berjaya di dalam peperiksaan dianggap cemerlang dan yang tidak berjaya adalah sebaliknya. Kesannya adalah masyarakat hanya menumpukan perhatian kepada kognitif sahaja dan mengabaikan kemahiran insaniah tadi dan seterusnya melahirkan masyarakat yang kurang prihatin kepada kebajikan masyarakat serta negara. Terdapat pelbagai lagi penyakit masyarakat yang akan timbul seperti yang digariskan oleh Kurt Hahn (1886-1974) iaitu kemerosotan kecergasan fizikal, kemerosotan disiplin kendiri, kemerosotan kreativiti dan daya usaha, kemerosotan kemahiran berfikir serta kemerosotan pemikiran rasional dan kesabaran. Memikirkan penyakit ini, beliau memperkenalkan pembelajaran berkonsepkan outdoor. Hasilnya, generasi yang bertanggungjawab dan peka terhadap diri sendiri, masyarakat dan alam sekitar dapat dilahirkan. Pelbagai lagi kajian lain telah lakukan dan terbukti bahawa pembelajaran secara outdoor atau juga dikenali sebagai pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) ini mampu membangunkan potensi modal insan dan sekali gus meminimumkan gejala sosial masyarakat.
Menurut statistik yang telah dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) pada tahun 2016, sebanyak 40 peratus para belia yang mengamalkan gaya hidup sihat dan membudayakan sukan outdoor dalam kehidupan mereka. Manakala pada tahun 2018, peratusannya meningkat kepada 50 peratus dan meningkat kepada melebihi 50 peratus pada tahun 2019. Peratusan ini selaras dengan perancangan dan sasaran KBS. Ini menunjukkan minat menjalani aktiviti outdoor mahupun pembelajaran berasaskan outdoor boleh dipupuk dalam kalangan masyarakat. Namun, usaha tersebut harus ditingkatkan dari semasa ke semasa agar impaknya dapat dirasai dan sekali gus ia menjadi amalan yang berterusan. Apa yang menjadi keutamaan adalah melahirkan masyarakat Malaysia yang cergas, aktif dan produktif dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi cabaran di masa hadapan di samping dapat mengekalkan kesihatan fizikal malah membina kekuatan mental seperti mengawal emosi, fokus, dan membina semangat berpasukan.
Walau apa pun cabarannya, sebagai pendidik, kita seharusnya lebih kreatif dan inovatif dalam mendidik anak bangsa ini agar kita dapat melahirkan mahasiswa yang holistik, selaras dengan kehendak negara. Segala aspek perlu diambil kira agar tidak hanya tertumpu kepada satu sudut pembangunan seseorang mahasiswa.
Penulis adalah Pengarah, Pusat Kokurikulum Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Kerana Dia
Oleh: JUWAIRIAH OSMAN
Kerana dia
aku mengenal erti nafas
aku memahami makna cinta
cinta kepada Yang Esa
Kerana dia
aku belajar daripada salah
silap yang tidak sengaja
mahupun dilaku kerana alpa
dia sentiasa ada untuk menegur
Kerana dia
aku faham apa itu ilmu
mengenal huruf hingga kata yang panjang
memahami makna wacana
mentafsir selembar kata kehidupan
ilmu untuk sentiasa berusaha
ilmu berjuang ke akhir hela
bukan mencapai cita dunia semata
namun dia mengajar kejar jaya di sana
Kerana dia
aku dibangkit selalu daripada tidur
daripada alpa lena
daripada leka hanyut dunia
aku dipesankan tentang amanah
yang kelak menentu bahagia atau sengsara
Kerana dia
aku selalu ingat
istiqamah dalam liku-liku
ujian nikmat bersilih ganti
meneruskan asa bukan putus asa
Kerana dia
Kerana dia yang bernama GURU
Penulis adalah Guru Bahasa Melayu, Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang (UMP) (16 Mei 2020)